GEORGE TOWN – Kampung Melayu Lama Air Itam di sini, kini dalam proses pencalonan sebagai Tapak Warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645).
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, pencalonan itu sedang menunggu persetujuan pemilik dan pihak berkuasa negeri sebelum Jabatan Warisan Negara mengambil langkah seterusnya bagi pewartaan rasmi.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memelihara dan melindungi tapak-tapak warisan bersejarah serta kampung tradisional sebagai sebahagian daripada identiti budaya dan sejarah Pulau Pinang.
“Selain nilai sejarah, Kampung Melayu Lama turut mempunyai kepentingan tambahan kerana menempatkan makam Sheikh Omar yang dipercayai antara tokoh awal penyebaran Islam di Pulau Pinang,” katanya hari ini.
Hon Wai (DAP- Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Muhamad Kasim (Bersatu- Telok Bahang) mengenai jumlah kawasan atau kampung-kampung yang telah diwartakan sebagai kampung warisan atau zon warisan di negeri ini.
Tambah beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri mengekalkan warisan sejarah dan budaya Pulau Pinang untuk generasi akan datang. – MalaysiaGazette















