KUALA LUMPUR – Jualan tiket bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercy untuk perjalanan bermula satu Januari hingga 30 April tahun hadapan akan dibuka kepada orang ramai pada jam 10 pagi Isnin minggu depan.
Menurut kenyataan daripada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), pembukaan awal ini turut mengambil kira tempoh perjalanan musim perayaan, cuti umum dan cuti sekolah bagi memberi peluang pengguna merancang perjalanan.
“Mulai satu Januari 2026, KTMB akan melaksanakan jadual waktu baharu bagi perkhidmatan ETS dan KTM Intercity, kecuali Shuttle Tebrau.
“Sebanyak 34 perkhidmatan ETS akan beroperasi setiap hari, dengan dua lagi perkhidmatan disediakan khusus pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad bagi sektor Kluang – KL Sentral – Kluang, menjadikan keseluruhan 36 perkhidmatan sehari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KTM, bagi perkhidmatan KTM Intercity yang merangkumi Ekspres Rakyat Timuran (ERT) dan Shuttle Timuran (ST), jadual perjalanan baharu akan melibatkan sebanyak 16 perkhidmatan setiap hari.
Jelasnya, daripada jumlah itu, dua darinya merupakan perkhidmatan ERT manakala 14 lagi adalah perkhidmatan ST yang dioperasikan menggunakan tren Diesel Multiple Unit (DMU).
Sementara itu, KTMB turut memaklumkan perkhidmatan Ekspres Selatan yang melibatkan sektor JB Sentral – Gemas – JB Sentral akan ditangguhkan sementara dan tarikh baharu akan dimaklumkan kemudian.
Sehubungan dengan itu, orang ramai dinasihatkan agar membuat perancangan awal terutamanya bagi musim cuti serta menyemak jadual perjalanan terkini melalui aplikasi KTMB Mobile atau saluran media sosial rasmi KTMB. -MalaysiaGazette















