KUALA LUMPUR – Ekoran tidak berpuas hati kerana calon yang dikehendaki tidak dicalonkan, beberapa penyokong parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dipercayai membuat protes dengan menutup markas pilihan raya.
Video tanda protes tersebut dimuatnaik di Facebook Ranau Media berdurasi 28 saat itu memaparkan banting dan banner calon GRS di kawasan itu ditanggalkan oleh beberapa penyokong.
Menurut Facebook berkenaan, penyokongnya mendakwa keputusan untuk menggugurkan nama Datuk Maijol Manap dianggap tidak adil terhadap “perjuangan di Bandau”, kerana beliau dilihat sebagai pemimpin yang telah lama menggerakkan kerja akar umbi di kawasan itu.
Keputusan tersebut didakwa menyebabkan sebahagian penyokong berada dalam keadaan kecewa dan terguris.
Dalam masa yang sama, penyokong GRS di kawasan berkenaan turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Mereka mempersoalkan slogan “Rumah Kita, Kita Yang Jaga”, yang menurut mereka bercanggah dengan tindakan meletakkan calon dari luar kawasan DUN Bandau.
“Isu utama yang dibangkitkan adalah pencalonan Redonah Bahanda yang mana beliau berasal dari kawasan lain. Beliau bukan pengundi di DUN Bandau. Beliau juga tidak mempunyai akar umbi yang kuat di sana.
“Ini menimbulkan persoalan tentang kesesuaian beliau untuk mewakili suara penduduk Bandau. Penyokong GRS mempersoalkan sama ada pencalonan ini memberi laluan mudah kepada parti lain seperti PKDM untuk merampas kerusi DUN Bandau,” tulis Facebook berkenaan.
Sebahagian penyokong GRS turut bimbang pencalonan tersebut memberi kelebihan kepada parti lain seperti PKDM untuk merampas kerusi Bandau, malah turut mengaitkannya dengan pengaruh kepimpinan PKDM dan calon bebas yang bertanding di kawasan berhampiran. – MalaysiaGazette
















