Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berucap ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 di IDCC, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 NOVEMBER 2025

SHAH ALAM – Pertandingan lebih lima penjuru di kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dilihat bukan lagi pertandingan sebaliknya hanya menggambarkan keadaan huru-hara.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran Sanasee berkata, perpecahan dan penjenamaan semula parti politik bukan lagi asing di negara bahkan menjadi rentak politik akan datang.

“Lihat apa yang berlaku di Sabah selepas hari penamaan calon di mana munculnya pertandingan lima, enam penjuru di hampir setiap kerusi. Dan ini bukan hanya kisah Sabah, inilah kisah Malaysia pada PRU yang akan datang.

“Perpecahan adalah norma baharu. Dahulu, pilihan raya di Malaysia adalah pertandingan satu pihak lawan yang lain.

“Hari ini, kita melihat pertempuran lima hala, enam hala malah tujuh hala. Ini bukan persaingan, ini adalah huru-hara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden dalam Perhimpunan Agung MIC ke-79 di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berucap ketika hadir pada Perhimpunan Agung MIC ke-79 di IDCC, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 16 NOVEMBER 2025

Perhimpunan Agung MIC ke-79 kali ini dihadiri kira-kira 1,808 perwakilan dari seluruh negara.

Vigneswaran berkata, PRN ke-17 di Sabah bakal menjadi cerminan kepada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) di mana perpecahan akan kembali menyatu setiap kali musim pilihan raya.

“Sabah memberi gambaran masa depan politik negara ini, parti-parti berpecah, berkumpul semula, menjenamakan semula dan kembali dalam satu kitaran pilihan raya.

“Gabungan terbentuk pada waktu pagi dan runtuh menjelang waktu makan malam. Inilah rentak politik Malaysia hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast