KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan keupayaan risikan bagi mengesan lebih awal rancangan pihak tertentu mengadakan himpunan atau demonstrasi yang berunsur ekstrem dan cuba mengeksploitasi sentimen rakyat.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, selain memantau media sosial, PDRM bekerjasama dengan agensi tempatan dan antarabangsa untuk mengumpul maklumat.
“Dengan kaedah pengumpulan maklumat melalui risikan, memantau di media sosial serta kerjasama strategi dengan agensi tempatan dan antarabangsa umpamanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Interpol,” katanya ketika sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Shamsul Anuar, pemantauan isu semasa yang berlegar di media sosial menjadi perbincangan hangat rakyat juga antara yang pendekatan risikan yang dilakukan.
“Antara sentimen yang dikenal pasti di dalam eksploitasi sentimen rakyat adalah seperti tindakan double standard penguatkuasaan dan perkara-perkara lain,” katanya.
Jelas Shamsul Anuar, meskipun kerajaan tidak menghalang hak rakyat untuk berhimpun secara aman namun keselamatan dan keamanan tetap menjadi keutamaan pihak polis.
“Dalam menangani persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan, kolaborasi kementerian dengan agensi yang terlibat (juga dilaksanakan) di samping kita melakukan kerjasama erat dengan NGO (badan bukan kerajaan) dan persatuan-persatuan yang ada elemen pendidikan dan keagamaan,” tambahnya.
Terdahulu, Suhaizan Kaiat (Pulai-PH) bertanya sama ada wujud ruang peningkatan keupayaan atau strategi baharu risikan untuk mendapatkan maklumat awal berkenaan anjuran himpunan atau demonstrasi di dalam negara.
Sebagai rekod, meskipun tiada lagi keperluan memohon permit perhimpunan namun penganjur demonstrasi atau himpunan aman masih perlu mematuhi peruntukan berkaitan pemberitahuan perhimpunan dengan mengemukakan notis pemakluman kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















