Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih 26,000 surat tawaran haji bagi tahun 2026 telah dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) selepas bakal jemaah mencapai syarat minimum simpanan RM15,000 dalam akaun Tabung Haji masing-masing.

Ketua Jabatan Haji Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk KHUP 4, Mohd Hisham Harun berkata, surat tawaran hanya dikeluarkan apabila bakal jemaah memenuhi keperluan khususnya aspek kewangan dan kesihatan.

“Sekiranya giliran mereka adalah tahun ini tetapi simpanan belum mencapai RM15,000, kita tidak akan mengeluarkan surat tawaran.

“Ini bagi memastikan para jemaah benar-benar bersedia menunaikan ibadah haji tanpa beban kewangan,” katanya dalam sidang media di Majlis Pra Pelancaran Karnival Haji Umrah dan Perlancongan kali ke empat (KHUP4) di sini hari ini.

Tambah Mohd Hisham, kumpulan jemaah haji yang sampai giliran untuk menunaikan pada tahun ini sahaja terdapat kira-kira 45,000 jemaah sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menambah lagi simpanan bagi melayakkan diri menerima tawaran.

Menurutnya, TH turut membuka rayuan dengan keutamaan diberikan kepada tiga kategori utama iaitu rayuan mahram, pengiring bagi jemaah haji berusia 75 tahun ke atas dan jemaah orang kelainan upaya (OKU).

Manakala rayuan yang lain akan dinilai berdasarkan merit masing-masing, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast