Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud di Putrajaya. 17 November 2025. UKK JPM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin dengan kepakaran profesional dan pengalaman Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Fadlun Mak Ujud akan memperkukuh pelaksanaan pembangunan kotaraya ini dengan lebih mampan.

Tambahnya, beliau juga yakin Fadlun berupaya membawa Kuala Lumpur melangkah sebagai ibu kota global yang berdaya saing, berdaya huni dan selaras dengan nilai-nilai MADANI.

“Selamat maju jaya kepada beliau dalam meneruskan tugasan serta kesinambungan kerja baik oleh mantan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, bagi terus mengangkat imej Kuala Lumpur ke tahap yang lebih gemilang dan disegani,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.

Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu itu di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, mereka berkesempatan membincangkan beberapa agenda besar demi masa depan ibu negara yang lebih maju dan berdaya saing.

Antaranya adalah usaha memperkukuh projek River of Life, menetapkan hala tuju pembangunan bandar yang lebih terancang dan mempercepatkan kelulusan One Stop Centre (OSC).

Selain itu menurut Anwar, mereka turut membincangkan kaedah untuk memperbaiki ekosistem penjaja dan peniaga kecil supaya mereka terus diberi ruang, sokongan dan peluang yang adil dalam ekonomi bandar raya.

Pada 14 November lalu, Fadlun, 58, dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu berkuat kuasa 15 November selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan mempunyai lebih 28 tahun pengalaman dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.

Sebelum pelantikan ini, Fadlun menyandang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya sejak 2022 dan telah menunjukkan kepimpinan cemerlang khususnya dalam memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025 dan Pelan Transformasi Hijau Putrajaya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast