KUALA LUMPUR – Tiga warga asing tanpa pengenalan diri dan dipercayai bekerja secara tidak sah di atas sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas A ditahan oleh Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan dilakukan ketika aset rondaan melakukan rutin operasi di perairan Selangor.
“Kapal Maritim mengesan vesel berkenaan di kedudukan 5.95 batu nautika barat daya Tanjung Karang ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
“Pemeriksaan awal mendapati vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan dua awak-awak dalam lingkungan umur 32 hingga 38 tahun yang kesemuanya adalah warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abdul Muhaimin, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Vesel tersebut juga melanggar syarat sah lesen apabila menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak didaftarkan serta menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.
Jelas Abdul Muhaimin, ketiga-tiga individu bersama dengan hasil tangkapan ikan campur kira-kira 10 kilogram diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan menggunakan peralatan tidak berdaftar.
“Mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















