SUBANG JAYA – Berdepan krisis antara Hezbollah dan tentera Israel (IDF) antara cabaran perlu dilalui sepanjang penugasan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang terlibat dengan misi pengaman di selatan Lubnan.
Bagaimanapun, Komandar MALBATT 850-12, Kolonel Johan Effendi Mohd Shalleh menzahirkan rasa syukur kerana kesemua 854 anggota selamat pulang ke tanah air tanpa sebarang kemalangan jiwa.
Katanya, detik mencabar mereka adalah perlu melalui pelbagai fasa hingga menyebabkan enam anggota MALBATT cedera dalam situasi konflik antarabangsa itu.

“Fasa pertama, dalam situasi itu enam anggota cedera melibatkan lima anggota MALBATT 850-12 dan seorang dari MALBATT 850-11 ketika pergerakan kami dari Lapangan Terbang Rafiq Hariri ke Lubnan.
“Untuk fasa kedua, genjatan senjata pelbagai penugasan telah diarahkan untuk kami mendapatkan kembali sokongan daripada rakyat Lubnan terhadap UNIFIL yang sedikit luntur.
“Manakala fasa ketiga kami melaksanakan penugasan untuk mendapatkan kepercayaan bagi menyambut mandat yang telah tamat pada Ogos 2025 dan mandat itu telah disambung semula sehingga 31 Disember 2026,” katanya pada pemberita.

Beliau ditemui selepas Majlis Kepulangan Panglima Angkatan Tentera dan kumpulan terakhir MALBAT 850-12 dari Lubnan di Lapangan Terbang TUDM, di sini hari ini.
Tambah Johan Effendi, sepanjang tempoh penugasan itu ujian kesihatan mental kesemua anggota berada dalam keadaan baik dan dilakukan secara berkala.
Mengulas mengenai kesediaan pasukan MALBATT 850-13, beliau berkata, mereka akan berdepan dengan kekurangan anggota iaitu 532 anggota atau 37.6 peratus berbanding 854 orang sebelum ini.
“Penugasan mereka juga berbeza berbanding pasukan sebelum ini dari segi aset-aset yang berada di sana akan dibawa pulang, diserahkan atau mungkin perlu dilupuskan sekali gus akan mengambil tempoh masa yang agak lama bagi tugasan tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















