Gambar hiasan

PONTIAN – Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM122,173 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan tidak wujud bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, mangsa berusia 67 tahun sebelum itu tertarik dengan iklan pelaburan dalam Facebook yang menawarkan keuntungan berlipat ganda.

“Mangsa berminat dengan pelaburan tersebut pada pertengahan bulan lalu selepas ditawarkan keuntungan dengan kadar 50 hingga 80 peratus.

“Mangsa yang berminat menyertai pelaburan tersebut dan melakukan 20 transaksi secara berperingkat-peringkat ke dalam beberapa akaun yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila gagal menerima semula modal dan keuntungan yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis, semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, katanya.

Pihaknya menasihatkan orang ramai lebih peka dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersil bagi mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai ujarnya, boleh mendapatkan maklumat berkenaan modus operandi jenayah komersil secara dalam talian melalui akaun rasmi JSJK @CyberCrimeAlert dan @JSJK PDRM menerusi Facebook Instagram dan TikTok.

Tambahnya, orang ramai disarankan menggunakan talian CCID infoline dan menggunakan perkhidmatan semak mule serta muat turun aplikasi Whoscall sebelum membuat sesuatu transaksi pembayaran.

“Sekiranya sudah menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast