Lima wanita warga Myanmar didenda atas tuduhan menipu di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman didenda RM5,000 masing-masing terhadap lima wanita warga Myanmar atas tuduhan membuat penipuan tawaran pekerjaan atas talian yang menyasarkan warga negara itu, minggu lalu.

Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh, Yan Yone Li, 29; Thi Thi Lwin, 29; Lone Shue, 23; Shwe Nanthar Kyaw, 25 dan Eaindray Phyoe, 21, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam Bahasa Mandarin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kelima-lima wanita itu sebagai pihak kepada satu pakat jahat jenayah didakwa bersama-sama bersetuju melakukan pakat jahat jenayah yang menyalahi undang-undang iaitu membuat penipuan tawaran pekerjaan atas talian menyasarkan warga Myanmar.

Perbuatan itu dibuat dengan niat untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang bagi tujuan penipuan di sebuah unit apartment dekat Forest City, Gelang Patah di sini, pukul 7.30 petang, 12 November lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Lim Seay Sean yang mewakili semua tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan semua anak guamnya adalah pesalah kali pertama.

“Mereka bekerja sebagai kerani industri perkhidmatan dengan gaji RM3,500 sebulan. Mereka masih bujang dan menanggung ibu bapa mereka.

“Mereka memberi kerjasama sepanjang tempoh siasatan dan telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa mahkamah.

“Perbuatan ini juga tidak membabitkan keganasan dan mereka sudah sedar serta insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Deana Aqilah Aliman bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 itu untuk setiap seorang dan turut memerintahkan mereka dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Difahamkan, mereka menjelaskan denda terbabit.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast