KUALA LUMPUR- Kerajaan negeri Johor memperuntukkan RM163 juta bagi sektor pendidikan dalam Belanjawan Johor 2026 yang menjadikannya sebagai peruntukan terbesar setakat ini bagi murid serta mahasiswa Johor.
Pengerusi Jawantkuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, daripada keseluruhan RM2.536 bilion belanjawan negeri, peruntukan pendidikan ini memberi fokus kepada pelajar di seluruh Johor termasuk kawasan luar bandar dan pulau.
“Kerajaan turut memperkukuh portfolio penerangan agar setiap maklumat penting dapat disampaikan dengan lebih cepat, tepat dan telus kepada rakyat.
“Sebanyak 35 inisiatif dirangka melibatkan RM174.8 juta merangkumi bantuan kepada murid, guru, mahasiswa, belia, dan pengamal media,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, antara inisiatif utama ialah Program Back To School yang menerima peruntukan RM28.8 juta, melibatkan 189,000 murid di seluruh negeri.
Jelas Aznan, setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menyalurkan bantuan pakaian sekolah kepada 2,000 murid daripada keluarga B40 dan asnaf.
Manakala bagi mahasiswa pula, kerajaan negeri memperkenalkan bantuan tiket penerbangan untuk pelajar Johor di Sabah dan Sarawak , serta perkhidmatan bas percuma kepada mahasiswa Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Semenanjung ketika perayaan.
“Dengan peruntukan RM1.4 juta, inisiatif ini membolehkan anak-anak Johor pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut hari perayaan tanpa bimbang kos perjalanan,” ujarnya.
Beliau menegaskan peruntukan pendidikan dalam Belanjawan Johor 2026 memberikan penekanan kepada penyediaan kemudahan serta sokongan yang lebih menyeluruh kepada murid dan mahasiswa agar mereka sentiasa terpelihara. -MalaysiaGazette
















