TANGKAK – Seorang pekerja swasta rugi RM109,405 diperdaya tawaran pekerjaan tidak wujud selepas tertarik dengan komisen sebanyak 40 peratus.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superitendan Roslan Mohd Talib berkata, mangsa iaitu wanita tempatan berusia 47 tahun diperkenalkan dan berminat dengan tawaran tersebut pada 8 November lalu.
“Mangsa menerima panggilan daripada platform jual beli atas talian menawarkan tugasan menaikkan rating jualan dan akan menerima 40 peratus bagi setiap tugasan yang dilaksanakan.
“Mangsa kemudian membuat 19 transaksi bermula dari 9 Oktober hingga 17 November lalu ke dalam lapan akaun berbeza,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun serta disebat dan denda.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Polis Daerah Tangkak menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran kerja dalam talian yang menjanjikan komisen lumayan secara mudah dalam tempoh singkat,” katanya.- MalaysiaGazette
















