SYDNEY – Remaja Australia telah dimaklumkan oleh Meta bahawa akaun mereka akan ditutup sebelum larangan media sosial negara untuk mereka yang berumur bawah 16 tahun dikuatkuasakan.
Meta, yang memiliki platform Instagram, Facebook dan Threads berkata, ia telah mula memaklumkan pengguna yang berumur antara 13 dan 15 tahun melalui teks, e-mel dan mesej dalam aplikasi masing-masing bahawa akaun mereka akan mula dinyahaktifkan mulai 4 Disember.
Australia mula menguatkuasakan larangan itu pada 10 Disember.
Larangan itu turut merangkumi TikTok, YouTube, X dan Reddit.
Perdana Menteri Anthony Albanese berkata, larangan itu bertujuan untuk “membiarkan kanak-kanak menjadi kanak-kanak”.
Meta dan firma lain yang menentang langkah tersebut, akur dengan keputusan Australia.
Pengawal selia internet Australia menganggarkan terdapat 150,000 pengguna Facebook dan 350,000 remaja di Instagram dalam lingkungan umur 13-15 tahun.
Mulai 4 Disember, kanak-kanak berumur bawah 16 tahun tidak akan dapat membuat akaun di platform media sosial Meta.
Syarikat itu berkata, ia meminta pengguna muda untuk mengemas kini butiran hubungan mereka supaya mereka boleh dimaklumkan apabila mereka layak membuka akaun.
Mereka boleh memuat turun dan menyimpan siaran, video dan mesej mereka sebelum akaun mereka ditutup.
Meta berkata, remaja yang mengatakan mereka cukup umur untuk menggunakan Instagram, Facebook dan Threads boleh mencabar sekatan tersebut dengan mengambil “video swafoto” untuk digunakan dalam imbasan usia wajah.
Mereka juga boleh memberikan lesen memandu atau kad pengenalan lain yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Semua kaedah pengesahan ini telah diuji oleh Skim Persijilan Semakan Umur (ACCS) yang berpangkalan di United Kingdom awal tahun ini, dalam laporan yang ditugaskan oleh kerajaan Australia.
Platform media sosial yang gagal mengambil “langkah munasabah” untuk menyekat kanak-kanak bawah 16 tahun menghadapi denda sehingga A$50 juta. – Agensi
















