KUALA LUMPUR – Pelakon, Adam Corrie Lee meluahkan rasa syukur setelah dianugerahkan Tokoh Muallaf dalam bidang ekonomi di acara Konvensyen Muallaf Madani yang berlangsung semalam.
Dalam hantaran di Instagram dan Threads, Adam mengatakan ia merupakan penghargaan kedua yang diterimanya selepas dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Saudara Kita peringkat Negeri Selangor pada tahun 2017 lalu.
Dalam perkongsiannya, beliau menzahirkan doa agar setiap langkah yang diambilnya terus menjadi asbab kebaikan kepada lebih ramai orang yang sedang mencari kekuatan dan sinar hidayah.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah, semalam saya diberi penghormatan menerima Anugerah Tokoh Mualaf Bidang Ekonomi.
“Semoga Allah memberkati setiap langkah, menjadikan perjalanan ini sebagai asbab kebaikan kepada lebih ramai saudara baru yang sedang mencari kekuatan dan sinar hidayah. Alhamdulillah,” tulisnya.
Dalam satu lagi hantarannya di Threads, Adam menyatakan dirinya berlapang dada dengan panggilan yang dilemparkan kepada dirinya sejak memeluk agama Islam.
“Saya tak kisah orang nak panggil saya apa, mualaf, saudara baru, reverted, converted, saudara seislam atau mujahir. Selagi panggilan itu membawa maksud yang baik, saya terima dengan hati yang lapang,” tulisnya.
Bagi pelakon itu, apa yang penting adalah perjalanan individu dalam mencari dan menuju ke arah kebaikan serta sokongan daripada orang sekeliling untuk menjayakan proses itu. – MalaysiaGazette
















