PETALING JAYA – Seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, dibawa sekali lagi ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini untuk sebutan kes.
Kes itu menarik perhatian umum susulan tahap keganasan yang didakwa berlaku dalam insiden 14 Oktober lalu selain usia tertuduh yang masih di bawah umur.
Petugas media sudah berkumpul di pekarangan mahkamah di sini walaupun hujan lebat sejak awal pagi ini.
Pada sebutan pertama sebelum ini, pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal menerusi prosiding tertutup memandangkan tertuduh yang berusia 14 tahun adalah seorang juvana.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kesalahan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dilakukan oleh tiga Timbalan Pendakwa Raya yang terdiri daripada Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi. Tertuduh pula diwakili peguam Anwar Ezzad Zainal.
Mengikut kertas pertuduhan, pelajar Tingkatan 1 (Peralihan) itu didakwa membunuh mangsa di tandas perempuan sekolah berkenaan yang berusia 16 tahun antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober.
Kesalahan itu diperuntukkan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati. Namun bagi pesalah juvana, mahkamah mempunyai budi bicara menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan bahawa mangsa ditemui dalam keadaan parah di kawasan tandas perempuan sebelum disahkan meninggal dunia di hospital dan polis menahan suspek pada hari sama dan merampas dua senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam serangan.
Dalam sidang media selepas itu, ibu mangsa mendakwa anaknya ditikam lebih 200 kali, menjadikan kes ini antara insiden serangan di sekolah paling ekstrem yang pernah dilaporkan dalam negara.
Polis turut memaklumkan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh termasuk motif kejadian, hubungan antara mangsa dan suspek, serta punca senjata tersebut diperoleh.
Sebutan kes hari ini dijangka mendapatkan arahan lanjut berhubung pemindahan kes ke Mahkamah Tinggi, proses dokumentasi berkaitan juvana, dan tarikh prosiding seterusnya. -MalaysiaGazette
















