P. Ramasamy

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh didesak tidak melepaskan tanggungjawab berhubung skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan yang digantung dan didenda Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, Hannah tidak sepatutnya berpura-pura tidak mengetahui peranan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam pemberian kewarganegaraan, selepas FIFA mendapati FAM memalsukan dokumen tujuh pemain dari Sepanyol, Belanda, Brazil, dan Argentina.

“Yeoh tidak seharusnya berpura-pura tidak mengetahui peranan KDN dalam pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain asing tersebut,” kata Ramasamy dalam kenyataannya sambil menambah Menteri tersebut sepatutnya lebih proaktif.

Laporan FIFA mengesahkan pemalsuan dan penipuan dalam proses naturalisasi tujuh pemain asing yang menandatangani dokumen tanpa memahami Bahasa Melayu, selepas rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ditolak melalui laporan 60 muka surat.

Sebelum ini, Hannah berkata, beliau akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai pendakwaan kewarganegaraan pemain warisan itu.

Namun Ramasamy menegaskan tindakan tersebut tiada faedah kerana Saifuddin Nasution turut dikaitkan dengan sindiket itu.

“Yeoh sepatutnya mengakui hakikat bahawa dunia bola sepak Malaysia berada di luar bidang kuasanya dan tidak hanya bercakap kosong tentang pendakwaan jenayah,” tambahnya.

Menurut Ramasamy, skandal ini menimbulkan persoalan mengenai pengawasan FAM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta mencadangkan supaya suruhanjaya diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat skandal yang dianggap sebagai aib besar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast