GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Tidak dinafikan di sebalik kesungguhan usaha transformasi sektor kerajaan, aspek penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat masih dibelenggu dengan polemik kerenah birokrasi.

Faktor ini seolah-olah sudah menjadi akar dan membudaya dalam perkhidmatan awam, dengan aduan demi aduan daripada rakyat berhubung keberkesanan penyampaian sektor kerajaan masih kedengaran sehingga ke hari ini.

Sudah semestinya, ia mencemarkan imej, produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, serta tidak selari dengan sekian banyak misi serta visi agensi kerajaan dalam menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Lebih membimbangkan, apabila ia turut melibatkan faktor integriti seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah, menyebabkan sektor perkhidmatan awam terbeban dengan stigma negatif dalam kalangan rakyat.

Menyedari kepentingan memberikan nafas dan wajah baharu kepada sektor perkhidmatan awam, Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) diperkenalkan menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bermula April 2024.

Secara ringkasnya, ia bertujuan memperbaiki tata kelola sektor kerajaan sedia ada, bagi memastikan urus tadbir lebih cekap dan mengurangkan kerenah birokrasi sama ada kepada rakyat atau komuniti perniagaan.

Kepentingan inisiatif ini dapat dilihat apabila pelaksanaannya diletakkan di bawah Majlis Tindakan MADANI (MTMM) yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menjadi sebahagian Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.

Ia juga mempunyai matlamat yang jelas iaitu meningkatkan daya saing negara di peringkat global dan mewujudkan persekitaran kawal selia kondusif bagi pertumbuhan ekonomi, sekali gus melonjakkan kedudukan Malaysia dalam laporan Daya Saing Dunia (WCR) tahunan.

Sementara itu, bagi Pensyarah Kanan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis, inisiatif seperti RKB disifatkan sebagai penampan atau penambahbaikan kepada sistem perkhidmatan awam sedia ada.

Dr. Muhammad Shamshinor Abdul Azzis

Menurut beliau, secara keseluruhannya, Malaysia ketika ini sudah mempunyai ekosistem penyampaian perkhidmatan awam yang boleh disifatkan baik termasuk dari segi pengukuhan integriti dan anti rasuah.

Bagaimanapun, ujarnya, masih terdapat beberapa ruang yang boleh diperbaiki khususnya dalam penggunaan teknologi, yang mungkin boleh dipadankan dalam inisaitif RKB bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam dapat dipertingkatkan.

Beliau mengambil contoh bagaimana rakyat selaku pelanggan boleh berinteraksi secara terus dengan agensi kerajaan berkaitan dalam menyelesaikan masalah mereka tanpa perlu hadir atau membuat aduan secara bersemuka di kaunter.

“Barangkali langkah yang boleh dicadangkan adalah dengan mewujudkan portal aduan yang benar-benar berfungsi dengan cekap, pantas dan berkesan dalam menguruskan setiap aduan rakyat.

“Sebelum ini memang kita diuar-uarkan dengan kewujudan portal sebegini dalam sektor kerajaan, namun dari segi kesedaran orang ramai mengenainya masih menjadi persoalan dan mungkin aspek ini perlu diperhebatkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, menurut Muhammad Shamsinor yang juga Pegawai Integriti Bertauliah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), aspek yang perlu ditekankan dalam transformasi penyampaian perkhidmatan awam juga adalah berkenaan keberanian orang awam atau kakitangan kerajaan membuat laporan berhubung salah laku atau gejala rasuah.

Ujar beliau, pelbagai inisiatif yang dilancarkan kerajaan termasuk RKB sendiri tidak akan membuahkan hasil seperti diharapkan sekiranya masih terdapat pihak yang menutup mata atau tidak berani melaporkan gejala salah guna kuasa.

“Sehubungan itu, inisiatif menambah baik penyampaian perkhidmatan awam perlu turut ditekankan dengan kepentingan untuk melaporkan aktiviti salah guna kuasa supaya ia juga selari dengan aspek pengukuhan integriti,” katanya.

Apa yang pasti, sekiranya transformasi perkhidmatan awam seperti RKB dapat dipertingkatkan dengan aspek integriti, lebih banyak pencapaian positif dapat dilakar dalam sektor kerajaan pada masa depan.

Seperti yang dikongsikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz sebelum ini, meskipun baru kira-kira setahun diperkenalkan, RKB dijangka mampu menjimatkan sehingga RM1.5 bilion tahun ini menerusi pelaksanaan lebih 700 projek.

Dengan pengukuhan reformasi itu menerusi penggubalan Akta Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam (ILTIZAM) pula, inisiatif RKB sudah semestinya dapat menangani kebimbangan rakan strategik kerajaan berkaitan perkhidmatan awam, seterusnya meningkatkan akauntabiliti dan tadbir urus yang lebih baik dalam sektor kerajaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast