KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 hari ini, dengan mengetengahkan Rancangan Pembangunan Sabah 1 (RPS1) yang dijadikan teras perjuangan parti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Pengerusi BN akan melancarkan manifesto itu di Bangunan UMNO Sabah di sini pada 8.30 pagi.

Berdasarkan atur cara jemputan, pembentangan manifesto RPS1 akan dibuat Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi catatan Facebook berkata, BN membawa hala tuju yang jelas, terancang dan realistik untuk masa depan negeri itu menerusi gagasan “Sabah Membangun Bersama”.

“Dengan kesatuan tenaga seluruh jentera, kita akan memastikan setiap perancangan diterjemah kepada tindakan yang memberi manfaat terus kepada rakyat. Inilah masanya kita bangkitkan semula keyakinan (dan) membawa Sabah ke landasan pembangunan sebenar. Demi rakyat, demi Sabah,” katanya.

Pada PRN Sabah ke-17, BN bertanding di 45 daripada 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 81 peratus calon merupakan muka baharu termasuk hampir separuh merupakan golongan profesional dan muda.

Sementara itu, Pakatan Harapan (PH) dijadualkan melancarkan manifesto PRN Sabah esok.

Pada 17 November, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) melancarkan manifesto yang berteraskan gagasan “Rumah Kita, Kita Jaga” dengan tema “Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan”.

Semalam, Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto dengan tema ‘Kasi Bagus Sabah’ di Putatan.

Hari pengundian PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov manakala undi awal pada 25 Nov.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis bersama-sama pasangan.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast