Kakitangan Hospital Pakar KPJ Batu Pahat membantu pasukan keselamatan menguruskan 'mangsa' gempa bumi untuk dibawa ke hospital itu dalam latihan Code Yellow Drill' hari ini.

BATU PAHAT – Hospital Pakar KPJ Batu Pahat sedia membantu hospital kerajaan menghadapi gempa bumi di daerah ini atau daerah berhampiran.

Kesediaan Hospital Pakar KPJ Batu Pahat itu selepas berlaku kejadian gegaran kecil yang berlaku di Batu Pahat dan Segamat baru-baru ini.

Bagi memastikan pihak hospital sentiasa bersedia, satu latihan kesiapsiagaan Code Yellow Drill diadakan minggu ini.

Ini melibatkan kerjasama antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Institut Pendidikan Guru (Kampus Tun Hussein Onn) dan City Ambulance.

Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, Ahmad Adli Kamaruzaman berkata, latihan itu bukan sahaja mampu meningkatkan persediaan kakitangan hospital itu menangani sebarang kejadian tidak diingini seperti bencana alam.

Katanya, secara tidak langsung juga meningkatkan kesefahaman antara agensi penyelamat dengan pihak hospital agar tindakan dapat dilakukan dengan baik dalam misi menyelamatkan mangsa tanah runtuh atau gempa bumi.

“Umum mengetahui, kita dikejutkan dengan beberapa siri gegaran lemah di Segamat dan Batu Pahat baru-baru ini dan latihan ini diadakan sebagai langkah kesiapsiagaan kami untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

“Hasil daripada latihan ini, kita bukan sahaja sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan malah turut dapat mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang berlaku dan dapat diatasi pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Adli berkata demikian selepas menyaksikan simulasi latihan melalui Code Yellow Drill” yang diadakan di Hospital Pakar KPJ Batu Pahat di sini hari ini.

Menurutnya, kemungkinan untuk berlaku bencana alam di daerah ini kecil namun latihan-latihan seperti ini perlu diadakan bagi memberikan gambaran kepada semua kakitangan hospital dalam melaksana tindakan berkesan ketika memberikan rawatan.

“Latihan seperti ini akan sentiasa dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak sebagai memberikan kesiapsiagaan kepada semua bertugas agar mereka lebih bersedia apabila berada di lapangan dengan kejadian sebenar,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast