KUALA LUMPUR – Seorang rakyat Malaysia merayu bantuan selepas mendakwa terkandas dalam kejadian banjir besar yang melanda Hat Yai, Thailand ketika ini.
Individu berkenaan yang menggunakan nama Lily Suraini menerusi laman sosial Facebooknya berkata, dia terperangkap di dalam sebuah hotel disebabkan air yang semakin tinggi.
Lebih memburukkan keadaan, katanya, dia juga tidak dapat membeli makanan selain terputus bekalan susu untuk dua anaknya memandangkan semua kedai di Hat Yai ditutup disebabkan banjir.
Menurut perkongsiannya lagi, dia telah cuba untuk menghubungi pihak kedutaan Malaysia namun tidak berjaya, selain hanya mampu berkomunikasi menerusi aplikasi WhatApss.
“Susu anak nak habis dh.. dh cuba call kedutaan malaysia x dapat… hujan makin lebat… kami hanya boleh wasap sahaja… sesiapa dpt bantu..hanya pikiaq pasal anak kami dua org yg perlukan susu…,” tulisnya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla hari ini turut mengeluarkan nasihat kepada rakyat Malaysia supaya menangguhkan hasrat untuk melancong atau melawat Selatan Thailand.
Konsulat itu dalam satu kenyataan berkata, ia berikutan cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan ketika ini serta banjir yang sedang melanda di kebanyakan kawasan di Selatan Thailand.
Sementara itu, tambahnya, rakyat Malaysia yang sedang berada di Selatan Thailand pula dinasihatkan supaya peka dengan keadaan cuaca, mengikuti pengumuman, berita dan nasihat daripada pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa serta menjaga keselamatan diri masing-masing. – MalaysiaGazette
















