KLUANG – Kerajaan akan membangunkan tanah terbiar milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di bandar ini untuk dimanfaatkan khususnya pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS).
Menteri Pengangkutan, Anthony Lok Siew Fook berkata, bekas tapak landasan kereta api itu berpotensi dibangunkan seperti pembinaan Laman Rel Mahkota di Kluang.
“Penganjuran Pesta Rel Kluang yang diadakan di Laman Rel Mahkota ketika ini berjaya menghimpunkan pelbagai program menarik yang menyorot peranan rel keretapi ini dalam menghubungkan warisan, budaya dan pembangunan ekonomi setempat.
“Keunikan Laman Rel Mahkota yang berlatar belakangkan landasan keretapi ini bukan hanya mampu menggamit kedatangan orang ramai di sekitar bandar serta daerah Kluang namun mampu mengajak orang luar berkunjung ke bandar Kluang.
“Pesta yang diadakan selama tiga hari bermula semalam hingga esok turut berjaya menghimpunkan usahawan serta pengusaha IKS untuk mempamer serta menjual produk yang dihasilkan pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Pesta Rel Kluang di Stesen Laman Rel Mahkota, di sini, hari ini.
Katanya, pesta yang julung kali diadakan dengan konsep landasan keretapi itu amat bertepatan berikutan kedudukannya di tengah bandar Kluang.
Keadaan itu katanya, akan menjadi jambatan yang menghubungkan warisan, budaya dan imaginasi masa hadapan.
Ujarnya, beberapa kawasan lain seperti Seremban dan beberapa lokasi lain di negara ini akan dibangunkan sebagai pusat rekreasi yang mampu menarik kedatangan orang ramai termasuk pelancong luar negara.
“Kita juga menghimpunkan arkitek, perancang bandar dan penggiat ruang awam dari Singapura, China, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia bagi membincangkan bagaimana pembangunan berasaskan rel mampu memperkukuhkan sosial dan penyertaan awam dalam pembangunan bandar.
“Ini satu konsep yang saya sambut baik kerana kita menggunakan ruang atau tempat terbiar ini untuk dihidupkan semula sebagai tempat tumpuan awam,” katanya.- MalaysiaGazette
















