Wong Hon Wai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pulau Pinang menegaskan sebarang naratif sejarah berusia 1,000 tahun tidak boleh mengatasi Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas mengiktiraf kedaulatan negeri itu sebagai sebuah entiti berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Ahli Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang merangkap ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai berkata kedudukan Pulau Pinang telah dimuktamadkan di bawah Perlembagaan Persekutuan 1957 dan tidak wajar dipertikai atau dijadikan bahan polemik politik.

“Hubungan Pulau Pinang dan Kedah telah termaktub dan selesai di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 di mana Kedah dan Pulau Pinang masing-masing sebagai negeri berdaulat dan bersama-sama negeri-negeri lain membentuk Persekutuan Malaysia.

“Perkara 167(7) dan Perkara 169(a) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan sebarang komitmen tahunan yang wujud pada zaman pentadbiran British telah berpindah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Isu ini telah selesai dan bukan menjadi modal politik berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hon Wai, kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengungkit sejarah 1,000 tahun disifatkan sebagai hujah yang terlalu jauh untuk dijadikan asas mempertikaikan kedudukan Pulau Pinang.

“Sejarah kuasa Siam di wilayah utara Semenanjung serta penemuan purba oleh pasukan arkeologi di Lembah Bujang serta Bukit Choras di Yan, Kedah juga membentuk sejarah 1,000 tahun ini. Biarlah ahli arkeologi teruskan usaha menemukan sejarah 1,000 tahun,” jelasnya.

Semalam, Sanusi dilaporkan berkata, Kedah kini menunggu pasukan peguam melengkapkan proses teknikal berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang termasuk penelitian dokumen serta penentuan bentuk ‘relief’ atau tuntutan munasabah mengikut peruntukan undang-undang.

Beliau turut memaklumkan pasukan guaman itu akan mengemukakan cadangan tuntutan selepas semua dokumen dan bahan berkaitan diteliti secara menyeluruh.

Hon Wai menegaskan, Malaysia ditadbir berdasarkan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang, bukan melalui naratif sejarah yang dipilih mengikut kepentingan politik semasa.

Tambah beliau, pemimpin kerajaan moden sewajarnya menjadikan prinsip Keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara sebagai asas utama pentadbiran demi menjamin kestabilan dan keharmonian negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast