KUALA LUMPUR – Seorang peguam, Zulqarnain Lukman mempersoalkan mengapa peguam dan firma guaman yang menawarkan komisen dalam sindiket pemberian pinjaman luar biasa kepada ribuan penjawat awam tidak didakwa.
Sedangkan ujar beliau, peguam dan firma guaman terbabit juga dianggap terlibat mengikut mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sebagai pemberi rasuah.
Sehubungan itu, ujarnya, SPRM juga sepatutnya mendakwa peguam terlibat supaya ia menjadi pengajaran kepada firma guaman terbabit untuk lebih menjaga integriti profesion.

Tegas beliau, sekiranya tiada peguam yang dituduh, dikhuatiri peguam atau firma guaman itu akan terus mengamalkan rasuah dengan pegawai di institusi lain.
“Kalau hendak dikatakan peguam akan menjadi crown witness juga tidak begitu munasabah kerana kes masih boleh dibuktikan melalui dokumen dan transaksi yang berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Terdahulu, beliau merujuk kepada laporan media yang menyebut SPRM akan mendakwa seramai 49 suspek sepanjang bulan ini hasil siasatan menerusi Op Tiger melibatkan sebanyak 249 pertuduhan dan nilai rampasan kira-kira RM700,000.
Pertuduhan itu akan dibuat ke atas pegawai dan bekas kakitangan bank yang disyaki terbabit dalam sindiket pemberian pinjaman luar biasa kepada ribuan penjawat awam.
Mereka dipercayai menerima rasuah atau komisen daripada beberapa firma guaman sebagai balasan melantik firma terbabit menguruskan dokumen perjanjian pembiayaan kewangan pelanggan, yang dikatakan berlaku antara antara 2018 hingga 2023.
Op Tiger besar-besaran oleh SPRM itu bermula sejak Jun tahun lalu yang bertujuan membanteras rasuah sistemik dalam institusi kewangan.
Sementara itu, Zulqarnain turut mengingatkan sesebuah firma guaman harus dibayar kerana profesionalisme dan kebolehan serta kemahirannya dalam guaman, bukan kerana firma guaman itu pandai bermain kabel dengan `orang besar’. – MalaysiaGazette
















