KUDAT– Kementerian Pertahanan memperkukuh keselamatan dan pembangunan komuniti terpencil apabila Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan Program Semarak ATM Bersama Komuniti Pulau Banggi, kemuncak kepada lebih 50 aktiviti kemasyarakatan sepanjang tahun di daerah ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang hadir ke Pulau Banggi sempena lawatan kerja Operasi PASIR disambut lebih 500 penduduk serta pertunjukan Tarian Perang.
Program berasaskan gotong-royong, kesihatan, pendidikan dan kerohanian ini mengukuhkan hubungan ATM dengan masyarakat setempat.
Kementerian Pertahanan berkata, kehadiran ATM di Pulau Banggi penting untuk memperkukuh keselamatan setempat dan seterusnya merangsang peluang sosioekonomi kepada lebih 20,000 penduduk melalui peningkatan kesalinghubungan dan keyakinan masyarakat.
Program ini turut menyerlahkan komitmen MINDEF melaksanakan pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WOGOS) bagi memastikan pembangunan dan perlindungan keselamatan dapat dinikmati secara saksama oleh komuniti luar bandar.
Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, serta wakil agensi keselamatan termasuk RELA, APM dan PDRM. – MalaysiaGazette
















