JOHOR BAHRU – Seramai 29 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu di kawasan komersial, hotel dan premis makanan sekitar bandar raya ini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan pada pukul 11 pagi hasil daripada maklumat awam dan risikan yang dijalankan.
“Lokasi terbabit dipercayai terlibat dalam kegiatan tidak bermoral dengan bayaran RM260 setiap langganan perkhidmatan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada dua lelaki dewasa warganegara Myanmar, 13 lelaki dewasa Indonesia, lapan wanita Indonesia, empat wanita dewasa Laos dan dua wanita dewasa Myanmar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, semua tahanan berusia antara 22 hingga 52 tahun dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Semua mereka katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut, manakala dua borang 29 turut dikeluarkan bagi membantu siasatan.
“JIM Johor akan terus memperkasa penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan majikan, pemilik premis atau individu yang menggajikan serta melindungi pendatang tanpa izin,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette
















