Aznan melakukan tinjauan pada hari pertama ujian bertulis SPM di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Tiada calon yang menduduki peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang terjejas akibat banjir setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, pemantauan sentiasa dilakukan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan risiko banjir di beberapa kawasan.

Beliau memberitahu, seramai 49,654 calon di seluruh negeri, termasuk pelajar sekolah kerajaan, swasta, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) serta calon persendirian menduduki perperiksaan bertulis SPM hari ini.

“Setakat ini, tiada laporan membabitkan calon atau 372 pusat peperiksaan SPM yang terjejas akibat banjir dan semua pusat peperiksaan beroperasi seperti biasa.

“Alhamdulillah, setakat ini di Johor tiada calon yang terlibat dengan bencana banjir. Semua pusat peperiksaan dibuka dan pelajar dapat hadir dengan baik.

“Kita bersyukur hari pertama berjalan lancar walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya ditemui dalam lawatan hari pertama peperiksaan bertulis SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bersama-sama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sudah menyusun langkah kesiapsiagaan awal.

Jelasanya, ini termasuk penyelarasan pusat peperiksaan yang mungkin dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku banjir.

“Kita telah membuat persiapan rapi sama ada sekolah itu hanya sebagai pusat peperiksaan atau turut dijadikan PPS. Semua ini diselaraskan di peringkat daerah bagi memastikan calon SPM tidak terjejas,” katanya.

Menurut Aznan, kesiapsiagaan turut ditingkatkan di daerah berpotensi dilanda banjir seperti Segamat dan Mersing serta beberapa kawasan lain yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’ berdasarkan pengalaman banjir yang lepas.

“Walaupun kita tidak dapat mengenal pasti lokasi berisiko tinggi secara tepat, pemantauan sentiasa dilakukan dan segala kemungkinan telah diambil kira.

“Saya berharap keseluruhan peperiksaan yang berlangsung sehingga 23 Disember ini dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan akibat bencana,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast