Mustapha Sakmud

KUALA LUMPUR – Dasar pengambilan pelajar yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui sistem UPUOnline berasaskan prinsip meritokrasi iaitu 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Berdasarkan prinsip itu, menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, semua calon yang layak dengan markah merit tertinggi tanpa mengira kaum, agama, negeri, taraf hidup dan tempat tinggal diberi peluang untuk mengikuti pengajian di universiti awam dan MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).

Jelas beliau, prinsip meritokrasi itu telah dilaksanakan secara adil, telus dan sistematik dalam keseluruhan pengambilan pelajar melibatkan permohonan, pemprosesan, pemilihan, hebahan dan rayuan.

“Dalam melaksanakan meritokrasi, peluang terhadap penawaran UPUOnline adalah sama rata tanpa ada keutamaan kepada lepasan STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), Matrikulasi mahupun Asasi,” katanya pada sesi jawapan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mustapha (PH-Sepanggar) menjawab soalan Chong Zemin (PH-Kampar) berhubung sama ada KPT bersedia mengkaji semula sistem UPUOnline bagi memastikan ketelusan dalam penawaran tempat ke universiti awam.

Sementara itu, menjawab soalan berkenaan kriteria pemilihan pelajar serta langkah mengurangkan rungutan pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus pilihan, Mustapha berkata, terdapat beberapa dasar dan kriteria yang ditetapkan berhubung perkara tersebut.

Antaranya, ujar beliau, dengan melihat kepada pencapaian akademik dalam peperiksaan; pencapaian dalam aktiviti kokurikulum; kombinasi mata pelajaran yang bersesuaian dengan program pengajian yang dimohon dan sebagainya.

Dalam masa sama, bagi menangani isu rungutan pelajar cemerlang yang gagal mendapat kursus pilihan, beliau turut menasihatkan supaya calon membaca syarat am dan syarat khas program pengajian yang d tetapkan oleh universiti awamsebelum mengemukakan permohonan menerusi UPUOnline.

“Bagi tujuan pemilihan program, pemohon dibantu untuk memilih kesesuaian program dengan berpandukan kepada maklumat yang dipaparkan di UPUOnline.

Ini penting, saya harap supaya kita dapat memberi, mendidik semua pemohon-pemohon UPUOnline ini untuk mengurangkan rungutan-rungutan ini,” katanya.

Tambah beliau, KPT telah mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan peluang akses ke pendidikan tinggi melibatkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan taraf hidup dapat dilaksanakan sebaiknya agar tiada golongan yang tercicir. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast