isu 3R kerajaan tebuk atap
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menegur sebuah akhbar arus perdana yang disifatkan beliau membuat tajuk berita yang seolah-olah menghina bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau merujuk kepada laporan berita yang bertajuk `Titah Adendum: Najib sudah tua, keputusan dicepatkan ke 22 Dis.’ seperti disiarkan menerusi portal berita itu semalam.

Mohd Puad turut mempersoalkan sama ada Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan memberikan kenyataan sedemikian ketika dihubungi media.

“Tajuk itu amat menghina. Apakah ada orang atas baik dalam kerajaan atau Utusan sendiri yang arah buat tajuk berita menghina itu.

“Kalau faktor tua, kenapa tangguhkan titah adendum terlalu lama. Kenapa Utusan tidak ulas perkara itu? Titah adendum sudah dititahkan sejak 29 Januari 2024 lagi.

“Kenapa Utusan tidak persoalkan tindakan pejabat Peguam Negara merayu ke Mahkamah Persekutuan termasuk permohonan gag order? Hampir dua tahun masa terbuang,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Puad berkata, Najib yang juga bekas Presiden UMNO tidak pernah merungut berkenaan faktor usia.

Malah, ujarnya, Najib tetap berjuang menuntut keadilan walaupun beliau seperti dipermain-mainkan.

“Presiden UMNO sendiri melakukan kamikaze kerana buat affidavit. Apa motif Utusan. Siapa suruh?” katanya.

Terdahulu, media melaporkan keputusan kesahan dan pelaksanaan titah adendum yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah sah dan boleh dilaksanakan telah dipercepatkan ke 22 Disember ini.

Perkara itu disahkan Shamsul ketika dihubungi media selepas pengurusan kes tersebut yang dijalankan secara dalam talian di hadapan Hakim Alice Loke Yee Ching. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast