Pencawang elektrik di Kota Kinabalu, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 26 NOVEMBER 2025.

KOTA KINABALU – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited menyediakan prasarana luar bandar termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya yang selamat dan moden, serta setara dengan kawasan bandar.

Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) antara inisiatif KKDW dalam membekalkan elektrik 24 jam ke rumah di kawasan luar bandar, termasuk kampung tradisional dan rumah panjang di seluruh negara.

Pada 2024, KKDW telah membelanjakan sebanyak RM116.65 juta melibatkan 1,595 rumah, manakala 2025 pula, sebanyak RM132.55 juta diperuntukkan dan Sabah menerima RM94.47 juta yang memberi manfaat kepada 637 rumah.

Tinjauan MalaysiaGazette di sini mendapati, peranan KKDW yang menyediakan peruntukan untuk pembangunan prasarana bekalan elektrik di kawasan luar bandar melegakan keresahan rakyat yang berlarutan sejak puluhan tahun.

Mirlen Axtiu

Menurut seorang penduduk, Mirlen Axtius, 28, dari Sepanggar, tidak semua tempat di Sabah mengalami krisis bekalan elektrik yang sama kerana kawasan bandar lebih bernasib baik berbanding luar bandar.

“Kalau di kawasan bandar, isu bekalan elektrik terputus memang kurang, tapi kalau di kawasan pedalaman, dia banyak isu blackout.

“Saya sendiri tinggal di kawasan Sepanggar, setakat ini saya belum pernah lagi rasa blackout, kalau ada blackout paling lama pun hingga lima minit sahaja,” katanya.

Mirlen berkata, selain KKDW, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) juga berperanan mengurangkan krisis bekalan elektrik menerusi inisiatifnya membina Pusat Penyimpanan Tenaga Elektrik (BASS).

“Prasarana elektrik itu dikatakan terbesar di Asia Tenggara yang terletak di Lahad Datu.

“Ia bagi menstabilkan bekalan elektrik, mengurangkan kejadian blackout dan sebagainya khususnya kawasan di pantai timur Sabah,” katanya.

Jonathan Nicholas

Bagi Jonathan Nicholas, 32, krisis bekalan elektrik tidak kerap berlaku di kawasan Luyang yang didudukinya dan hanya sekali setahun berlaku blackout.

Blackout mungkin agak lama sikit, kadang-kala sampai enam jam, rasanya masih okay, dia bukan kerap.

“Penggunaan set janakuasa bergerak (genset) boleh membantu penduduk daripada menunggu lama sehingga bekalan elektrik pulih. Ia lebih sesuai di kawasan pedalaman, di kawasan bandar masih terkawal,” katanya.

Khairul Azmi Khairul Nizam

Bagi seorang remaja, Khairul Azmi Khairul Nizam, 19, dari Tuaran, rakyat Sabah tidak menolak pembangunan sama ada kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat yang sedia memperuntukkan dana bagi menambah baik prasarana elektrik.

“Macam di tempat kami di Tuaran, buat masa ini okay, cuma kadang-kala ada mati (terputus bekalan) sekejap tapi tidak lama, macam 30 minit sudah hidup balik.

“Buat masa sekarang, belum lagi (mati seharian atau semalaman), sangat bagus jika kerajaan persekutuan dapat salurkan peruntukan untuk menambah baik bekalan elektrik, sebab untuk kesenangan rakyat di sana,” katanya.

Melvin Perimus

Bagi Melvin Perimus, 21, dari Kudat, setiap kali bekalan elektrik terputus khususnya di kawasannya dekat Kudat, ia menyukarkan urusan seharian penduduk.

“Kalau satu kali mati bekalan elektrik di daerah kami, dia ambil masa untuk hidup balik, ia menyusahkan orang-orang di rumah kerana banyak pakai dapur elektrik, hingga tak dapat masak, malah banyak kerja di rumah tertangguh.

“Saya setuju jika kerajaan Pusat salur peruntukan untuk perbaiki bekalan elektrik untuk manfaat daerah kami,” katanya.

Mohammad Sabri Dollah

Sementara itu, Mohammad Sabri Dollah, 23,  pula  mengalu-alukan inisiatif kerajaan menyalurkan peruntukan untuk menambah baik bekalan elektrik yang ada kalanya berlanjutan sehingga 10 jam.

“Macam di taman perumahan saya, kalau terputus bekalan elektrik, mesti ambil masa yang lama untuk diperbaiki, kadang-kala dari pagi sampai malam.

“Kalau kerajaan Pusat nak salur peruntukan tambahan untuk luar bandar, bagi saya boleh tiada masalah, mungkin di kampung dan tempat-tempat yang memerlukan.

“Ini kerana peruntukan sedia ada kerajaan negeri masih tidak mencukupi atasi masalah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast