KENYATAAN akhbar Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berhubung situasi bencana di Sumatera, Indonesia.

KUALA LUMPUR – Tiada laporan mengenai warganegara Malaysia yang terjejas secara langsung setakat ini akibat kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di beberapa wilayah khususnya di Provinsi Sumatera Utara (Sumut); Sumatera Barat (Sumbar) dan Aceh, Indonesia.

Bagaimanapun, Konsulat Jeneral Malaysia di Medan dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan akan terus memantau rapat perkembangan situasi banjir dan tanah runtuh itu susulan hujan lebat berterusan dan keadaan cuaca yang tidak menentu.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan Indonesia melalui Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) dan Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) telah mengaktifkan langkah kesiapsiagaan serta operasi bantuan di kawasan-kawasan yang terjejas teruk.

Ujarnya, ia terutama di kawasan rendah dan kawasan lereng bukit yang terdedah kepada risiko banjir serta tanah runtuh di ketiga-tiga provinsi tersebut.

“Warganegara Malaysia yang sedang berada di Sumatera Utara, Sumatera Barat dan Aceh atau merancang perjalanan ke kawasan tersebut dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, memantau perkembangan terkini melalui saluran media rasmi, serta mematuhi segala arahan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk menyemak status perjalanan dengan syarikat penerbangan atau pengangkutan masing-masing sekiranya berlaku sebarang perubahan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan, angka korban akibat banjir dan tanah runtuh di pulau Sumatra, Indonesia, meningkat kepada 19 orang dengan puluhan lagi dilaporkan hilang.

Hujan lebat di wilayah berdekatan, Aceh, sejak beberapa hari lalu turut mengakibatkan banjir dan tanah runtuh, memaksa hampir 1,500 penduduk dipindahkan, menurut agensi bencana tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast