KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Kubu Bharu, Selangor direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 3 Disember 2025 bagi siasatan kes gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan.
Perintah reman ke atas seorang lelaki dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Norhayati Johar di Mahkamah Kuala Kubu Bharu hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, suspek yang berusia 48 tahun hadir ke mahkamah dengan tangan bergari dan dikawal ketat anggota polis sekitar jam 8.40 pagi dan dibawa keluar pada pukul 3.15 petang.
Sebelum ini, media melaporkan, lelaki itu ditahan polis selepas melakukan gangguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan tingkatan empat di asrama berkenaan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitenden Ibrahim Husin berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan daripada kesemua mangsa berusia 16 tahun sekitar jam 4.16 petang, Rabu lalu.
“Siasatan awal mendapati, suspek telah melakukan gangguan seksual dengan menyentuh ketiga-tiga pelajar perempuan itu ketika mangsa sedang tidur di katil masing-masing.
“Susulan itu, tangkapan ke atas suspek warga tempatan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan semakan lanjut mendapati suspek tidak memiliki rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
















