Pasukan penyelamat memindahkan sebuah kereta yang rosak akibat tanah runtuh yang berlaku di sebuah universiti di Padang, Sumatera Barat pada 25 November 2025. foto AFP

MEDAN – Banjir dan tanah runtuh di seluruh pulau Sumatera, Indonesia telah mengorbankan sekurang-kurangnya 84 orang minggu ini dan puluhan lagi masih hilang, menurut pegawai penyelamat pada Jumaat.

Indonesia, bersama negara jiran Malaysia dan Thailand, telah dilanda hujan lebat yang menyebabkan puluhan kematian di seluruh rantau itu sejak beberapa hari lalu.

Di Sumatera Utara, “setakat pagi ini, jumlah kematian ialah 62 orang, dengan 95 orang cedera, termasuk kecederaan serius dan ringan,” kata jurucakap polis tempatan Ferry Walintukan.

“Sekurang-kurangnya 65 orang masih dalam pencarian,” katanya kepada AFP.

Di Sumatera Barat yang bersebelahan, sekurang-kurangnya 22 orang telah meninggal dunia, manakala 12 lagi masih hilang, menurut agensi bencana tempatan.

Walintukan berkata pihak berkuasa di Sumatera Utara memberi tumpuan kepada “pemindahan dan pemberian bantuan”.

Di Sumatera Utara, akses ke beberapa kawasan serta komunikasi masih terputus.

“Mudah-mudahan cuaca kembali baik supaya kami boleh menggerakkan helikopter ke lokasi yang paling teruk terjejas,” tambahnya.

Di Sibolga, bandar yang paling terkesan pula merekodkan lebih daripada 30 orang terkorban.

Di Sumatera Barat, Ketua Agensi Bencana Tempatan, Abdul Malik memberitahu, seramai 22 orang meninggal dunia dan 12 orang masih dalam pencarian.

Hujan lebat turut menyebabkan banjir di Aceh, wilayah paling barat Indonesia, mencetuskan tanah runtuh dan memaksa hampir 1,500 orang berpindah, menurut agensi bencana tempatan.

Perkhidmatan elektrik di beberapa bahagian wilayah itu juga terputus.

Syarikat elektrik milik kerajaan, Perusahaan Listrik Negara berkata, mereka telah menghantar kakitangan untuk memulihkan bekalan elektrik secara berperingkat selepas banjir kilat meruntuhkan sebuah menara penghantaran.

Musim monsun tahunan, biasanya antara Jun dan September, sering membawa hujan lebat yang mencetuskan tanah runtuh, banjir kilat dan penyakit bawaan air.

Keadaan itu bertambah buruk akibat ribut tropika di rantau ini sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Sistem cuaca tersebut telah menenggelamkan sebahagian selatan Thailand, mengorbankan puluhan orang dan memerangkap ramai di rumah mereka. Di Malaysia, ia turut menyebabkan banjir besar dan meragut sekurang-kurangnya dua nyawa.

Perubahan iklim telah menjejaskan corak ribut, termasuk tempoh dan tahap keterukan musim tersebut, yang membawa kepada hujan lebih lebat, banjir kilat dan tiupan angin kuat.

Sekurang-kurangnya 38 orang meninggal dunia bulan ini dalam kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh hujan lebat di Jawa Tengah, dan sekitar 13 orang masih hilang. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast