KUALA LUMPUR – Penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh menimang cahaya mata pertama selepas isterinya, Fatin Athira Mustapa selamat melahirkan anak perempuan mereka yang diberi nama Tara Svara pada 21 November lalu.
Dalam hantaran di Instagram miliknya, Noh meluahkan rasa syukur sambil menggambarkan kelahiran Tara sebagai sebuah perjalanan sarat ujian yang akhirnya mengajar mereka tentang reda, sabar dan percaya pada perancangan Tuhan.
“Ini memerlukan kami mengharungi pelbagai ujian yang dahsyat untuk menyedari bahawa hanya Allah Yang Maha Esa menentukan masa yang sempurna untuk sesuatu dituliskan menjadi milik kita. Tidak lambat, tidak terlalu cepat, perfect,” coretnya.
Penyanyi itu turut memuat naik beberapa foto momen kelahiran, memperlihatkan detik penuh emosi, pelukan keluarga serta wajah bahagia menyambut ahli baharu dalam keluarga kecil mereka.
“Isteri saya telah melahirkan anak pertama kami. Seorang anak perempuan yang sihat dan sangat cantik.
“Berkat doa restu orang tua, keluarga, sahabat dan anda semua, proses kelahiran sangat lancar dan meriah kerana ditemani pelukan, ciuman dan sorakan,” katanya.
Dalam pada itu, Noh turut memohon doa agar keluarga kecilnya sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT.
“Sebuah fasa baharu untuk kami dan mohon kalian doakan perjalanan sebagai parents ini sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Doakan aku, Athira dan Tara Svara,” tulisnya.
Untuk rekod, Noh sebelum ini pernah berkongsi detik sedih kehilangan anak sulung mereka yang diberi nama Julian.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada September 2023. – MalaysiaGazette
















