Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas menunaikan solat jumaat ketika di Masjid At Taqwa Keningau, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2025.

KENINGAU – Barisan Nasional (BN) tidak menolak kemungkinan kerajaan campuran bakal terbentuk sekiranya tiada satu pun gabungan mahupun parti memperoleh majoriti kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, pada Sabtu.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN juga sedia berunding dengan parti-parti tempatan untuk memastikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak tergantung bagi membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

“Insya-Allah saya melihat komentar daripada penganalisis politik yang menjangkakan tiada satu gabungan pun akan dominan yang boleh membentuk kerajaan sendiri.

“Kita ada membaca akan berlaku kerajaan campuran selepas 29 hari bulan, mungkin tengah malam atau 30 hari bulan itu.

“BN sebagai sebuah parti gabungan yang dinamik sebelum ini pun dalam PRN Sabah ke-16 telah mengadakan kesepakatan yang sama dan kita tidak menolak sebarang kemungkinan kesepakatan itu terus dilakukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menunaikan solat jumaat ketika di Masjid At Taqwa Keningau, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2025.

Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri ditemani Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Politiknya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menunaikan solat Jumaat dan solat sunat hajat di Masjid At-Taqwa, di sini, tengah hari tadi.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Ismail Rakibe yang mengeluarkan laporan kaji selidik PRN Sabah 2025: Tinjauan Pilihan Raya dan Implikasi Strategik, Penilaian Pasca Penamaan Calon (Tempoh Kempen).

Laporan itu antara lain meramalkan tiada satu gabungan mahupun parti dijangka mampu memperoleh kemenangan dengan undi terbanyak dan bukan majoriti dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, Sabtu ini.

Menurut Ismail, hanya dua blok terbesar iaitu BN dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi mendahului pencabar lain, masing-masing diramal memenangi 18 kerusi.

Manakala baki 37 kerusi DUN lagi dimenangi masing-masing Warisan dengan 16 kerusi, Pakatan Harapan-PH (14), Perikatan Nasional-PN (3), serta parti-parti tempatan kecil lain dan calon bebas (4).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas menunaikan solat jumaat ketika di Masjid At Taqwa Keningau, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 28 NOVEMBER 2025.

Ahmad Zahid selaku Presiden UMNO berkata, walaupun BN hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) tanpa GRS dalam kempen pilihan raya kali ini, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku selepas hari pengundian, esok.

“Sekarang ini kesepakatan kami dengan PH tanpa GRS kerana itu pilihan yang telah dibuat, namun realiti politik adalah berbeda.

“Kita akan lihat bagaimana keputusan yang akan ditentukan oleh para pengundi di Sabah ini terhadap pembentukan kerajaan baharu yang akan dibuat selepas tamat pengundian,” katanya.

Ketika ditanya tentang kesediaan BN untuk bekerjasama dengan parti-parti tempatan, Ahmad Zahid berkata, pihaknya sentiasa terbuka ke arah itu kestabilan kerajaan negeri.

“Kita sangat terbuka, sangat dinamik dan sangat realis dalam perkara ini dan kita akan lihat beberapa kebarangkalian dan kemungkinan bagi pembentukannya Insya-Allah.

“Yang penting kita mengharapkan pengundi-pengundi memberikan undi kepada calon-calon BN agar kami memperoleh kerusi yang terbanyak Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast