Orang ramai berlari mencari perlindungan selepas serangan Israel yang menyasarkan sebuah bangunan di kem Bureij untuk pelarian Palestin di tengah Semenanjung Gaza pada 19 Oktober 2025. Foto AFP

HAMILTON, Kanada – Pejabat Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, kakitangan dan fasilitinya terus diserang ketika gencatan senjata di Semenanjung Gaza masih berlangsung hingga mewujudkan keadaan berbahaya yang menghalang operasi kemanusiaan.

Dalam satu kenyataan, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, situasi itu menimbulkan risiko yang ‘tidak boleh diterima terhadap keselamatan mereka’.

OCHA menegaskan, orang awam, petugas kemanusiaan, serta infrastruktur awam termasuk konvoi, bekalan dan fasiliti kemanusiaan mesti sentiasa dilindungi selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ia berkata, serangan yang berterusan mendedahkan kakitangan PBB, rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat yang bergantung pada perkhidmatan mereka kepada risiko serius, termasuk kematian dan kecederaan, serta terus menghalang kerja-kerja kemanusiaan.

Sambil menyeru semua pihak melindungi orang awam dan operasi bantuan, agensi PBB ini menggesa semua pihak untuk melindungi nyawa orang awam dan membenarkan laluan selamat bagi bantuan yang dapat menyelamatkan nyawa.

Walaupun berdepan risiko dan halangan lain yang menghalang pelaksanaan penuh peningkatan operasi kemanusiaan, OCHA berkata, PBB dan rakan-rakannya masih menyediakan perkhidmatan dan barangan penting kepada mereka yang memerlukan di seluruh Gaza.

Mengulas situasi di Tebing Barat yang diduduki, OCHA berkata, keganasan di sana terus berlaku tanpa henti, dengan laporan harian mengenai korban, kerosakan dan pemindahan.

Pergerakan rakyat Palestin semakin disekat, dengan ribuan dikenakan perintah berkurung dan ramai lagi berdepan sekatan yang menghalang akses ke tempat kerja, sekolah dan perkhidmatan penting.

Angka terkini OCHA menunjukkan lebih 1,600 serangan oleh peneroka haram Israel sejak awal 2025 telah menjejaskan lebih 270 komuniti Palestin.

Jumlah rakyat Palestin yang cedera kini melebihi 1,000 termasuk kira-kira 700 yang cedera secara langsung oleh peneroka Israel haram, hampir dua kali ganda angka yang dicatatkan pada 2024. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast