KUALA LUMPUR – Pas berharap kemenangan Datuk Dr Aliakbar Gulasan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai akan meletakkan asas kukuh buat parti itu di Sabah pada masa akan datang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kemenangan sulung Pas di Sabah itu juga membawa makna sangat besar kepada perjuangan parti itu.
Dalam masa sama sama, beliau berterima kasih kepada para pengundi serta jentera Pas dan Perikatan Nasional (PN) yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan Dr Aliakbar yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkenaan.
“Kepada Dr. Aliakbar, kemenangan ini satu amanah yang telah diberikan oleh pengundi-pengundi di Karambunai dan dengan pengalaman sebelum ini, kita yakin beliau akan mampu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.
“Marilah kita sama-sama berusaha mengangkat martabat Dr. Aliakbar sebagai wakil rakyat kita bersama dan insya-Allah mudah-mudahan Allah SWT memudahkan urusan dan segala tugas beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN Karambunai kali ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Facebook beliau malam ini.
Berdasarkan kiraan tidak rasmi setakat pukul 11 malam ini, Dr Aliakhbar Gulasan yang bertanding atas tiket PN memenangi kerusi DUN Karambunai dengan majoriti 371 undi.
Keputusan itu sekali gus mencipta sejarah kepada Pas yang pertama kali berjaya memenangi kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Pada PRN-17 kali ini, Pas turut bertanding di lima lagi kerusi iaitu DUN Petagas; Tanjung Batu; Balung; Merotai dan Kunak.
Kerusi DUN Karambunai menyaksikan pertandingan 11 penjuru yang mana pada PRN lalu, kerusi itu dimenangi oleh Datuk Yakub Khan yang mewakili Barisan Nasional (BN). – MalaysiaGazette
















