SERDANG – “Tanpa keikhlasan, kita mudah letih dan tertekan. Ilmu hanya benar-benar bermakna apabila kita gembira ketika menyampaikannya,” kata tokoh motivasi terkenal negara, Datuk Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, sewaktu menerima Ijazah Kehormat
Doktor Pendidikan Pengembangan pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-49, baru-baru ini.
Penganugerahan tersebut disempurnakan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang berkenan menyampaikan ijazah kehormat berprestij itu.
Mohd Fadzilah berkata, tugas menyampaikan ilmu, sama ada dalam konteks agama, teknologi, pembangunan atau profesional menuntut jiwa yang bersih dan niat yang betul.
“Kita sebagai khalifah, pekerja, pemimpin dan warga universiti adalah agen penyampai maklumat dan sebelum mengembangkan masyarakat setiap warga UPM perlu membangunkan diri sendiri terlebih dahulu. Pimpin diri, barulah kita boleh membangunkan orang lain,” katanya.
Tambah beliau, pengembangan ilmu yang berkesan hanya dapat dicapai melalui kesatuan dan kolaborasi.
“Jika kita bersatu, lebih banyak ilmu dapat dikongsi dan disampaikan secara inklusif kepada masyarakat,” katanya.
Penganugerahan ini merupakan pengiktirafan rasmi UPM terhadap hampir lima dekad sumbangan besar beliau dalam bidang motivasi, pendidikan dan pembangunan modal insan disiplin yang menjadi inti pati Pendidikan Pengembangan di universiti.
Selain itu, sumbangan beliau telah memperkukuh kefahaman masyarakat tentang pengurusan diri, kepimpinan, pembentukan karakter dan pembangunan komuniti, menjadikannya antara tokoh paling berpengaruh dalam landskap pendidikan negara.
Dalam pada itu, Mohd Fadzilah memulakan kerjaya akademiknya di UPM pada 1977 sebagai pensyarah di Jabatan Pembangunan Komunikasi, sebelum menyandang jawatan Timbalan Pengarah di Pusat Pengembangan dan Pendidikan Lanjutan (PPPL).
Sepanjang 16 tahun perkhidmatannya, beliau membangunkan pelbagai modul latihan dan program kecemerlangan diri yang menjadi rujukan institusi pendidikan dan agensi kerajaan.
Pengaruh beliau turut melangkaui sempadan negara melalui jemputan di Singapura, Brunei, Timur Tengah dan Eropah sebagai penceramah utama serta keynote speaker.
Bimbingannya berteraskan nilai Islam, kekeluargaan dan budaya telah mengangkat Malaysia sebagai pusat rujukan ilmu motivasi serantau.
Sebelum ini, ketokohan beliau telah diraikan melalui penganugerahan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) (1996), Tokoh Ma’al Hijrah dan Anugerah Belia Felda Malaysia (2008).
Penglibatannya dalam memperkukuh kolaborasi akademik rantau Asia Tenggara juga memberi impak besar terhadap pembangunan komuniti, kepimpinan dan pendidikan pengembangan di peringkat serantau.
Sumbangan beliau telah membentuk generasi pelajar, pekerja dan pemimpin serta keikhlasan dan konsistensi beliau adalah inspirasi dalam memperkasa individu, organisasi dan masyarakat. – MalaysiaGazette
















