KUALA LUMPUR – Polis akan menambah baik tindakan terhadap operasi termasuk penguatkuasaan undang-undang yang memberi impak kepada masyarakat khususnya penularan gejala songsang di ibu negara.
Bagaimanapun, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan dan akan mengambil tindakan segera berkaitan undang-undang bagi membanteras jenayah sosial.
“Dalam proses pelaksanaan operasi itu satu hal juga, perlu ditambah baik dan keadaan ini perlu dikaji bersama oleh semua pihak supaya penguatkuasaan undang-undang dapat memberi kesan yang positif kepada masyarakat.
“Kita tidak mahu seperti mana serbuan, tangkapan, siasatan telah dibuat dan kemudian dalam proses dilaksanakan ini benda yang tidak sepatutnya berlaku seperti reman tidak dapat dan siasatan lanjut tidak dapat teruskan.
“Bagaimanapun, kita akan tetap teruskan siasatan juga dengan apa cara sekali pun mudah-mudahan kita dapat lagi bahan bukti yang ada untuk dikaitkan hingga boleh membawa kepada pertuduhan dan sekiranya tidak dapat ke arah itu, kita melihat alternatif lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan ‘Masih Ada Yang Sayang’ oleh Majlis Agama Islam Persekutuan kepada 70 anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Tambah Fadil, mereka masih boleh disabitkan mengikut undang-undang sedia ada iaitu Seksyen 387B Kanun Keseksaan serta Seksyen 25 Akta Jenayah Syariah Wilayah- Wilayah Persekutuan 1995 (Akta 559).
“Kita masih ada undang-undang dan mereka terlibat dengan kesalahan yang saya katakan sebelum ini sebab ada sesyen-sesyen dan setiap kesalahan ada intipatinya serta keperluan setiap salah laku, ia tidak semudah itu,” jelasnya.
Terdahulu, seramai 171 lelaki warga tempatan yang ditahan dalam serbuan pusat spa dan kesihatan di Chow Kit pada Jumaat lalu dibebaskan dengan jaminan selepas permohoan reman ke atas mereka ditolak.
Fadil dilaporkan berkata, permohonan reman ke atas semua warga tempatan itu ditolak Majistret dengan alasan lewat dikemukakan. – MalaysiaGazette
















