KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu dilantik sebagai anggota lembaga bagi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk mewakili negeri Sabah.
Manakala Farahana Rabidin, Penggubal Undang-Undang Parlimen, Jabatan Peguam Negara juga dilantik bagi anggota lembaga itu bagi mewakili Peguam Negara berkuat kuasa 1 September lalu.
LHDNM berkata, pada masa yang sama, Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, telah dilantik semula sebagai anggota lembaga LHDNM mewakili negeri Sarawak untuk tempoh dua tahun, berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2026 hingga 31 Julai 2028.
Sabin sebelum ini pernah menerajui LHDNM sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO)/ketua pengarah.
Pengalaman luas beliau dalam percukaian, pencegahan jenayah kewangan dan pentadbiran awam melengkapkan peranan beliau dalam memperkukuh hala tuju dan tadbir urus LHDNM.
Sementara itu, Farahana memiliki pengalaman yang luas dalam bidang perundangan, khususnya berkaitan penggubalan undang-undang, kini berkhidmat sebagai Penggubal Undang-Undang Parlimen di Bahagian Gubalan, Jabatan Peguam Negara.
Pengalaman dan kepakaran beliau dalam bidang perundangan diyakini dapat menyumbang kepada pengukuhan aspek tadbir urus serta pertimbangan berkaitan dasar dan perundangan dalam pelaksanaan tanggungjawab LHDNM.
LHDNM, katanya, mengalu-alukan pelantikan kedua-dua anggota lembaga baharu ini dan pelantikan semula Wan Lizozman dan berharap agar pengalaman serta kepakaran yang dibawa mereka dapat memperkukuh tadbir urus dan menyokong usaha berterusan dalam memperkasa pentadbiran hasil negara. – MalaysiaGazette
















