PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) akan membentangkan empat pindaan undang-undang utama yang bertujuan meningkatkan perlindungan pekerja, memperkukuh keselamatan sosial serta memodenkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

Dalam kenyataan hari ini, Kesuma menjelaskan pindaan tersebut dijangka memberi manfaat kepada jutaan pekerja, pelajar dan belia, selaras dengan agenda reformasi undang-undang buruh negara.

Menurut kementerian itu, antara fokus utama pindaan berkenaan ialah peluasan perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari, pengukuhan jaringan sokongan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan.

Juga penyelarasan standard kemahiran mengikut keperluan industri serta jaminan akses pembiayaan latihan kemahiran yang lebih mampan.

“Pindaan Akta Keselamatan Sosial 1969 (Akta 4) akan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 yang memberi perlindungan menyeluruh kepada kira-kira 10 juta pekerja sektor formal, merangkumi insiden di dalam dan di luar waktu bekerja.

“Selain itu, pindaan terhadap Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) akan memperkukuh jaringan keselamatan sosial melalui peningkatan bantuan kewangan, intervensi pekerjaan serta sokongan penempatan semula bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, bagi Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652), kementerian memaklumkan ia melibatkan pengukuhan standard kemahiran negara agar lebih responsif kepada keperluan industri.

Ini termasuk memperkenalkan tiga kategori baharu di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk meningkatkan kualiti TVET dan kebolehpasaran belia.

Sementara itu, pindaan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) pula menjamin akses pembiayaan latihan kemahiran yang lebih luas dan cekap bagi menyokong program peningkatan dan penukaran kemahiran (upskilling dan reskilling).

“Bacaan kedua dan ketiga keempat-empat pindaan akta ini dijangka berlangsung pada awal Disember 2025,” kata kenyataan itu.

“Reformasi undang-undang ini merupakan komitmen berterusan kementerian untuk membina ekosistem perburuhan dan TVET yang inklusif, responsif dan berdaya saing, sekali gus memastikan pekerja serta belia Malaysia bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa depan,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast