Neow Choo Seong
Neow Choo Seong

KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) menegaskan parti itu tidak akan melukut di tepi gantang dan tidak akan merayu untuk diterima atau bergantung pada ihsan mana-mana pihak.

Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong berkata, BN merupakan sebuah parti yang bermaruah serta berprinsip dan dakwaan yang menyangka BN terdesak mengejar jawatan merupakan satu tanggapan yang silap.

Tegas beliau, politik bukan pentas untuk kepentingan peribadi atau melindungi kedudukan, sebaliknya merupakan amanah yang mesti ditunaikan demi rakyat.

“Andai rakyat meletakkan BN sebagai pembangkang, BN tidak akan bersembunyi di belakang mana-mana gabungan.

“Lebih baik menjadi pembangkang yang tegas, berani bersuara dan konsisten memperjuangkan kepentingan rakyat, daripada berada dalam kerajaan tetapi hanya menjadi pak turut dan menjaga kepentingan diri,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau merujuk kepada kenyataan oleh Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) yang menolak sebarang usaha membawa BN menyertai Kerajaan GRS Plus yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Bagaimanapun, kenyataan Choo Seong itu dillihat bertentangan dengan pendirian Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mana parti itu bersedia untuk bekerjasama dan menyokong pembentukan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu.

Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sukau, Datuk Jafry Ariffin semalam turut mengangkat sumpah pelantikan sebagai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

Sementara itu, Choo Seong berkata, rakyat kini muak dengan politik perebutan kuasa, ugutan sokongan dan drama lompat-melompat, sebaliknya mahukan parti yang jelas pendiriannya.

Sehubungan itu, tambahnya, BN perlu memilih jalan yang lebih sukar tetapi lebih bermaruah iaitu bangkit bersama rakyat, bukan bergantung kepada kuasa.

“BN telah melalui kejatuhan, kebangkitan dan cabaran yang lebih besar daripada ini.

“Hari ini, kita perlu membuktikan kepada rakyat bahawa BN tetap berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya iaitu: membela rakyat, menegakkan integriti, dan menjadi suara yang tidak boleh dibeli atau digertak.

“BN bangkit kerana rakyat, BN bukan hamba kepada kuasa,” katanya.

Keputusan PRN-17 Sabah pada Sabtu lalu menyaksikan  BN hanya memenangi enam kerusi daripada 45 kerusi yang dipertandingkan.

Ia merupakan pencapaian terburuk UMNO dan BN sepanjang sejarah pilihan raya di Sabah, sekali gus menunjukkan penurunan sokongan penduduk negeri itu terhadap parti tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast