Nurulhidayah Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Gabungan seperti Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) memerlukan jiwa yang besar dengan menepis ego yang boleh menenggelamkan rakyat dalam konflik yang dicipta sendiri.

Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, jiwa besar itu termasuk kesediaan untuk berkompromi, menerima pandangan berbeza dan mengutamakan kestabilan, berbanding siapa yang mendapat lebih kerusi atau jawatan.

Tegas Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, politik Sabah tidak boleh lagi kembali kepada pola lama, yang mana setiap pihak mahu menjadi pahlawan tunggal.

“Zaman itu sudah berlalu. Hari ini, rakyat menilai siapa yang mampu bekerjasama, bukan siapa yang paling lantang menuduh.

“Dalam politik Sabah hari ini, kuasa bukan untuk dimiliki, tetapi untuk dikembalikan kepada rakyat dengan cara bekerja bersama, bukan bertelingkah sesama sendiri.

“Inilah politik matang. Inilah politik yang rakyat Sabah perlukan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau malam tadi.

Terdahulu, menerusi hantaran berasingan, Nurulhidayah berkata, hubungan antara BN dan GRS dalam konteks pembentukan Kerajaan Negeri Sabah wajar dilihat dari sudut kepentingan rakyat.

Ujarnya, Sabah pernah melalui fasa ketidakstabilan yang panjang, kerajaan bertukar dalam tempoh singkat, budaya lompat parti yang tidak berkesudahan serta perebutan kuasa yang akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa keadaan.

Maka, tegas beliau, mana-mana kerjasama yang mampu membawa kembali kestabilan dan kesinambungan pentadbiran adalah sesuatu yang perlu dinilai dengan akal bukan emosi.

Dalam masa sama, ujarnya, kerjasama antara BN dan GRS bukan bermakna hilangnya identiti atau prinsip mana-mana pihak.

Sebaliknya, tambah Nurulhidayah ia adalah suatu bentuk kesepakatan politik yang lebih matang, di mana kedua-dua blok mampu berfungsi sebagai pelengkap dalam mentadbir negeri ini.

“BN hadir dengan pengalaman panjang serta kekuatan akar umbi yang terbina sejak berdekad, manakala GRS pula membawa dinamika politik dengan keupayaan mengurus isu kontemporari Sabah,” katanya.

Tambahnya, gabungan GRS-BN jika dibina atas dasar saling menghormati boleh mewujudkan imbangan kuasa yang sihat untuk memastikan setiap keputusan kerajaan benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat, bukan kepentingan kelompok tertentu.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerjasama itu juga secara tidak langsung dapat meredakan sentimen sempit yang dimainkan sewaktu PRN-17 Sabah seperti slogan `Sabah for Sabahan’.

“Realitinya, kedua-dua blok politik ini dipimpin oleh anak Sabah sendiri, mempunyai rekod khidmat kepada rakyat Sabah, dan sama-sama memahami denyut nadi negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazet

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast