Antara wanita warga asing yang ditahan Imigresen dalam serbuan di Klang Sentral, Selangor. Foto JIM

KUALA LUMPUR –  Sarang pelacuran berselindung di sebalik papan tanda syarikat pengurusan hartanah dan import ekport di sebuah rumah kedai tiga di Klang Sentral, Selangor tumpas digempur Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shabran berkata, modus operandi digunakan sindiket adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warga asing menjalankan kegiatan tidak bermoral itu.

Katanya, sarang pelacuran tersebut diuruskan oleh seorang lelaki warga Bangledesh yang bertindak sebagai ‘Kapten’ atau penjaga premis yang menjadi sasaran kalangan warga asing di kawasan terbabit.

“Salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada ‘Kapten’ bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.

“Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperoleh setiap wanita warga asing tersebut adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.

“Siasatan awal mendapati ‘Kapten’ telah diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai ‘Kevin’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi bermula jam 10.25 malam itu, seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan perempuan warga asing diperiksa selain seorang lelaki dan dua kanak-kanak warga tempatan.

Zakarian berkata, daripada jumlah itu, lapan lelaki warga Bangladesh dan sembilan perempuan warga Vietnam berumur antara 21 hingga 32 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963. JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi terhadap salah seorang pelanggan di lokasi tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, hasil penggeledahan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama.

“Kesemua warga asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast