Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) bersama-sama dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (tiga kanan), Pengerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis Datuk Zolkopli Dahalan (kanan) dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay (dua kanan) bergambar pada majlis Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) Tahun 2025 di Hotel Premiera. Foto MUHAIMIN MARWAN, 2 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR –  Polis tidak pernah berhenti menjalankan siasatan berhubung kehilangan aktiviti Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, siasatan terhadap kedua-dua kes berprofil tinggi itu masih diteruskan, selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi yang meminta polis meneruskan tindakan siasatan.

“Siasatan polis tidak pernah terhenti  terhadap kes ini, jadi kalau keputusan mahkamah meminta polis untuk teruskan, itu tak ada perbezaaan apa-apa kerana pihak polis tak pernah tutup kes ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) 2025, di Hotel Premiera, di sini, hari ini.

Mengenai keputusan mahkamah mengarahkan kerajaan membayar ganti rugi RM10,000 sehari kerana kegagalan mematui perintah melibatkan Pastor Koh, Saifuddin berkata, Pejabat Peguam Negara (AGC) sudah memfailkan rayuan kerana implikasi kewangannya yang besar.

“Kita maklum tentang perkara itu. AGC telah memfailkan rayuan kerana ia melibatkan tuntutan kewangan yang besar dan kita menghormati keputusan mahkamah tapi kita biarkan pihak AGC meneruskan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan kerajaan serta pihak polis membayar pampasan sebanyak RM37 juta kepada keluarga Pastor Koh atas penglibatan pihak berkuasa dalam penculikannya.

Hakim Su Tiang Joo memutuskan seorang atau lebih defendan, melibatkan pegawai polis yang masih berkhidmat dan telah bersara, terlibat dalam penculikan tersebut serta bertindak mengikut arahan lapan tahun lalu.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan kerajaan dan polis membayar lebih RM3 juta kepada keluarga Amri Che Mat kerana kegagalan menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kehilangan aktivis tersebut.

Pastor Koh diculik pada 13 Februari 2017 ketika memandu di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, di mana lima lelaki berpakaian hitam dan bertopeng dilaporkan menariknya keluar dari kenderaan.

Sementara itu, Amri Che Mat yang merupakan pengasas NGO Perlis Hope, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 24 November 2016 sekitar jam 11.30 malam.

Kenderaannya ditemui keesokan harinya di sebuah tapak pembinaan berhampiran Sekolah Sukan Bukit Cabang, Perlis.

Kedua-dua kes pernah menjadi fokus siasatan awam dan perhatian kumpulan hak asasi, yang terus menuntut jawapan dan pertanggungjawaban pihak berkuasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast