KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan perbandingan surat sokongan yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes melibatkan kerajaan negeri Terengganu adalah salah, songsang dan tidak tepat.
Dakwanya, tindakan itu juga dillihat sebagai satu lagi usaha untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang sebenar.
Bagaimanapun, beliau mengakui Exco Terengganu tidak sepatutnya mengeluarkan surat seperti yang dibangkitkan namun masih ada kewajaran dalam tindakan tersebut.
Malah ujar Ahmad Fahdli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, ia juga tidak sama dalam situasi surat sokongan melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Shamsul Iskandar Mohd Akin sebelum ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad Fadhli berkata, surat Exco Terengganu itu adalah syor rundingan terus untuk mempercepatkan kerja pembaikan jalan terputus akibat hakisan ombak di Batu Rakit, Kuala Nerus.
Jelasya, ia bukan kerja biasa, sebaliknya projek kecemasan dan mendesak kerana risiko kepada penduduk yang akan berdepan dengan musim tengkujuh.
“Berdasarkan Pekeliling Perbendaharaan PK 2.4 Perkara 2.1, rundingan terus dibenarkan sekiranya terdapat kesegeraan atas kepentingan awam.
“Ini tepat dengan situasi jalan terputus, tambahan pula Exco Terengganu berkenaan memegang portfolio Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar.
“Beliau ada agensi teknikal, ada pegawai penilai dan ada kepakaran. Surat itu bukannya arahan, hanya syor dan masih tertakluk kepada keputusan pegawai kewangan negeri.
“Dalam bahasa mudahnya, surat Exco Terengganu itu tidak bersalahan dengan tindakan dasar dan mengikut pekeliling dan demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi kenyataan video yang dimuat naik di laman sosial Facebook malam tadi.
Semalam, Perdana Menteri mendedahkan tentang dua surat berasingan daripada Exco Kelantan dan Terengganu yang menggunakan terma memohon kelulusan bagi projek termasuk yang ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu.
Bercakap di Dewan Rakyat dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri (PMQ), beliau menjelaskan, perkataan meminta kelulusan rasmi berbeza daripada surat sokongan daripada Shamsul Iskandar yang hanya memohon pertimbangan.
Bagaimanapun, menurut Ahmad Fadhli lagi, berbanding dengan kes melibatkan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim seperti yang tular di media sosial, surat telah dikeluarkan kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) dengan menyenaraikan lima syarikat untuk prakelayakan bagi projek tebatan banjir di Sungai Batu Pahat, Johor Bharu.
Dakwa beliau, daripada lima syarikat itu, terdapat syarikat bermasalah termasuk tidak mempunyai kepakaran dalam bidang atau projek tebatan banjir.
Malah, dakwanya lagi, terdapat syarikat yang langsung tidak mempunyai pendaftaran dalam Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), iaitu syarat utama bagi sesebuah syarikat untuk melaksanakan sesebuah projek pembinaan di negara ini.
“Ini kecuaian tahap kritikal, justeru membandingkan di antara dua perkara ini adalah merupakan satu perbandingan yang salah. Apatah lagi surat daripada Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu merupakan surat daripada pihak yang lebih berkuasa kepada pihak yang berada di bawahnya.
“Tanpa syak dan ragu, surat itu ada unsur-unsur memberikan pengaruh kepada pihak yang menerima surat,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Fadhli mempersoalkan sama ada Anwar turut memberikan teguran keras kepada Muhammad Kamil sama seperti yang diberikan kepada Shamsul Iskandar dalam kes surat sokongan sebelum ini. – MalaysiaGazette
















