Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Mohamed@Hashim.

KUALA LUMPUR – Tuntutan Kerajaan Negeri Terengganu dalam pertikaian dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bukan sesuatu yang baharu atau berlebihan tetapi merupakan hak sah yang telah tertangguh terlalu lama.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata, penyelesaian segera dan menyeluruh dalam isu itu amat diperlukan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan ekonomi negeri itu.

Menjelaskan lebih lanjut, ujar beliau, sepanjang lebih empat dekad operasi Felda di tanah-tanah milik kerajaan negeri itu, bayaran premium tanah, cukai tanah dan perkongsian keuntungan 30 peratus kepada kerajaan negeri masih belum diselesaikan.

Ia tambahnya, melibatkan anggaran tunggakan mencecah RM600 juta walaupun Felda mencatatkan keuntungan besar setiap tahun.

Lebih membimbangkan, tanah-tanah itu telah dipajak dan diisytiharkan sebagai aset dalam penyenaraian Bursa Malaysia sedangkan status hak milik tidak pernah bertukar tangan.

Penyenaraian sebagai aset Felda itu, tegas Ahmad Amzad, adalah tidak wajar kerana tanah tersebut kekal sebagai milik Kerajaan Negeri Terengganu.

“Kerajaan negeri telah memberikan ruang yang mencukupi untuk proses rundingan dan menetapkan 29 November lalu sebagai tarikh akhir bagi Felda menyelesaikan isu tertunggak.

“Malangnya, tempoh tersebut berakhir tanpa sebarang maklum balas mahupun penyelesaian terbaik.

“Hakikat tanah negeri diusahakan selama puluhan tahun tanpa pulangan sewajarnya bukan sahaja satu kerugian besar kepada rakyat, bahkan mencerminkan kelemahan tadbir urus yang tidak boleh lagi dibiarkan berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, Terengganu berhak menuntut hasil daripada tanah yang sah miliknya dan hasrat itu bukan sahaja wajar, bahkan selari dengan kepentingan rakyat negeri itu.

Katanya, hasil ladang sepatutnya kembali menyumbang kepada rakyat dan pembangunan negeri, bukan hanya menguntungkan pihak berkepentingan tertentu.

“Kelewatan dan kegagalan menyelesaikan tuntutan ini perlu ditangani dengan tegas agar hak negeri tidak terus dinafikan,” katanya.

Ahad lalu, Kerajaan Terengganu memulakan tindakan penguatkuasaan terhadap FGV Holdings Bhd dengan mengeluarkan 127 notis larangan menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran melibatkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) itu merupakan langkah awal tindakan perundangan selepas rundingan berhubung isu pembayaran hasil negeri gagal mencapai persetujuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast