KUALA LUMPUR – Trend peningkatan hubungan seks songsang bukanlah sesuatu yang mengejutkan kepada kalangan petugas hadapan kesihatan, yang kerap dikunjungi pesakit golongan itu sejak kebelakangan ini.
Perkara itu dikongsikan Pakar Psikiatri, Siti Norfazihan Najid yang turut merawat beberapa pesakit yang berdepan masalah kesihatan mental akibat tekanan dalam hubungan songsang.
Malah, katanya, golongan pengamal hubungan seks songsang juga lebih berisiko mengalami masalah kesihatan mental termasuk penyakit mental; kecenderungan membunuh diri serta masalah penggunaan dadah terlarang.
Sehubungan itu, tambahnya, ketika usaha membanteras normalisasi gaya hidup seks songsang tersebut dilakukan di peringkat perundangan, organisasi dan masyarakat, ibu bapa juga perlu memainkan peranan memastikan anak-anak mereka tidak terjebak dengan penyakit moral itu.
Menjelaskan lebih lanjut, Siti Norfazihan yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan berkata, ibu bapa perlu memperlengkapkan diri dengan pengetahuan asas tentang gender (jantina) dan seksualiti supaya boleh bercakap atau berdialog dengan anak-anak untuk memberikan kefahaman yang tepat.
Tambahnya, anak-anak tidak boleh dibiarkan mendapat maklumat berkenaan perkara itu dari sumber yang tidak sepatutnya, khususnya menerusi platform media sosial.
“Ajarkan anak-anak seawal umur prasekolah dan sekolah rendah tentang konsep gender supaya mereka mensyukuri nikmat jantina yang Allah SWT ciptakan untuk setiap orang.
“Gender adalah ketetapan yang tidak boleh diubah walau bagaimana sekalipun usaha manusia. Ceritakan kelebihan dan kekuatan setiap gender, yang datang bersamanya peranan dan tanggunjawab,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Siti Norfazihan yang juga ahli Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menambah, penerangan tentang seksualiti boleh dimulakan dengan penceritaan tentang proses penciptaan manusia, fasa akil baligh dan seterusnya fitrah (keinginan) manusia kepada hubungan seksual.
Ia kemudiannya, katanya, boleh disertakan dengan penceritaan tentang salah laku seksual seperti hubungan songsang yang sangat ditegah dalam agama.
“Untuk anak-anak yang sudah matang dan bersedia, terangkan tanpa selindung padah dan keburukan perilaku MSM (lelaki dengan lelaki) ini.
“Risiko mendapat HIV contohnya, adalah 18 kali lebih tinggi kerana kepadatan salur darah di bahagian dubur.
“Ceritakan kerosakan yang akan berlaku dalam struktur sosial masyarakat disebabkan perilaku ini,” katanya.
Sementara itu, beliau tidak menolak mungkin ada ibu bapa yang berasa kekok untuk berkongsi maklumat berhubung perkara tersebut dengan anak-anak mereka.
Disebabkan itu, ujarnya, ibu bapa perlu melengkapkan diri terlebih dahulu dengan dua pengetahuan asas berkenaan jantina dan seksualiti tersebut.
“Kemudian mulakan dengan dialog ringkas tetapi berterusan dan berulang supaya melekat di dalam hati dan fikiran mereka.
“Tiada sumber rujukan? Mari saya cadangkan Modul Reproalert yang dihasilkan oleh pakar-pakar dan asatizah dari pertubuhan I-Medik. Lengkap dan berteraskan nilai-nilai Islam,” katanya. – MalaysiaGazette
















