Tangkap layar menunjukkan berlaku pertengkaran mulut antara Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo dengan seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di kawasan Mount Pleasure di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo tampil menjelaskan punca beliau berang dalam satu klip video tular membabitkan kerja mencantas pokok di Mount Pleasure di sini, sejak Selasa lalu.

Menurutnya, reaksi itu tercetus selepas beliau mendapati dua laluan utama di kawasan berkenaan disekat oleh dua kren besar sehingga menyebabkan ribuan penduduk Sea Range Tower dan Seaview Garden terperangkap tanpa akses jalan.

“Kita menerima aduan awal daripada penduduk yang menghubungi pejabat bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap gangguan tersebut.

“Malah seorang wanita yang berasa marah pula telah mengadu di depan saya dalam pejabat di Komtar untuk menyuarakan rasa tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan.

Jagdeep menjelaskan, walaupun penutupan jalan diperlukan demi kelancaran serta keselamatan kerja, kontraktor terbabit gagal mempertimbangkan kesannya terhadap aliran trafik dan pergerakan harian komuniti setempat.

Beliau turut membangkitkan risiko yang dihadapi penduduk, khususnya golongan warga emas dan kanak-kanak, yang tiada pilihan selain berjalan melalui laluan berbukit untuk keluar atau pulang ke rumah.

“Saya sendiri melalui situasi itu apabila dua anak saya terpaksa berjalan kaki kerana isteri saya tidak dapat mengeluarkan kenderaan untuk menjemput mereka pulang dari sekolah.

“Bagaimana pula dengan yang lain terutamanya warga emas? Bagaimana jika berlaku kecemasan dan ambulans tidak dapat mengakses jalan untuk sampai ke mangsa?

“Menjadi tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat untuk bersuara apabila kehidupan penduduk terjejas,” katanya.

Semalam media melaporkan, Kerajaan negeri telah berjumpa dengan kontraktor terlibat bagi mendapatkan penjelasan segera berhubung insiden penutupan jalan tanpa laluan keluar hingga menyukarkan pergerakan penduduk di kawasan Mount Pleasure di sini, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa H’ng Mooi Lye, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran mengadakan pertemuan dengan kontraktor hari ini untuk mengetahui keadaan sebenar.

Kon Yeow juga meminta pihak berkaitan agar mengkaji semula prosedur kerja kerana tindakan menutup jalan sepenuhnya tanpa menyediakan laluan alternatif tidak sepatutnya berlaku dan boleh menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 39 saat yang memaparkan pertengkaran mulut antara Timbalan Ketua Menteri II Jagdeep Singh Deo dengan seorang kontraktor yang menjalankan kerja-kerja mencantas pokok di kawasan Mount Pleasure di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast