KUALA LUMPUR – Selama hampir dua dekad menabur bakti, nama Datuk Bung Moktar Radin, 66, akan terpahat antara pemimpin yang meninggalkan impak mendalam dalam sejarah politik dan pentadbiran negara khususnya di Sabah.
Pertama kali dipilih sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan pada tahun 1999, Allahyarham sejak itu mengekalkan mandat tersebut sehingga ke nafasnya yang terakhir awal pagi tadi.
Malah, Allahyarham juga diberi kepercayaan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag sejak 2020, dan dipillih sekali lagi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabtu lalu.
Sama ada di peringkat negeri Sabah atau Persekutuan, Bung Moktar meninggalkan jasa besar selepas diberi tanggungjawab memimpin portfolio penting dan dekat dengan pembangunan rakyat.
Allahyarham pernah dilantik Timbalan Ketua Menteri I serta Menteri Kerja Raya Sabah dari 2020 hingga 2023 selain sebagai Pengerusi FELCRA Berhad dari 2013 hingga 2018.
Dalam arena politik tanah air khususnya di Sabah, Bung Moktar merupakan figura pemimpin yang disegani sama ada oleh kawan atau lawannya.
Kesungguhan dan ketegasan beliau dalam membela nasib rakyat Sabah menjadikan beliau pemimpin yang sentiasa dikenang dan dihargai rakyat.
Allahyarham merupakan antara pemimpin Sabah yang sering memperjuangkan isu berkaitan kebajikan rakyat khususnya di luar bandar, termasuk dalam memastikan akses kepada kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik, serta jalan raya.
Kelantangannya berdepan musuh politik pula, mengangkat obor perjuangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya di Sabah untuk terus menyala dan menjadi harapan kepada rakyat Sabah sehingga ke hari ini.
Dikenali sebagai pemimpin yang teguh pada prinsipnya, Bung Moktar selaku Pengerusi BN Sabah tetap setia dengan perjuangan parti itu meskipun ketika UMNO dan BN dilihat menunggu masa untuk rebah dan terkubur.
Beliau juga tidak berpaling daripada perjuangan UMNO dan BN ketika ramai rakan-rakan politik lain melompat ke parti lawan tatkala UMNO dan BN sedang diuji.
Seperti yang dikongsi rakan-rakan politik lain, kelantangan dan keteguhan prinsip itu menjadikan Bung Moktar pemimpin yang tiada galang gantinya.
Sesuatu yang pasti, persidangan Dewan Rakyat selepas ini akan sunyi dengan suara Allahyarham yang sentiasa dengan tegas serta lantang membangkitkan pelbagai masalah rakyat.
Awal pagi tadi, kira-kira pukul 1.20 pagi, Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir, membawa bersama-samanya kenangan dan harapan yang pernah diletakkan rakyat Sabah terhadapnya.
Allahyarham meninggal dunia disebabkan kegagalan buah pinggang dan jangkitan paru-paru di sebuah hospital di Kota Kinabalu, Sabah, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Likas, selepas solat Jumaat hari ini. – MalaysiaGazette
















